https://critoxium.com/shop/

Terkini

Beri rakyat peluang jana pendapatan di tengah Covid-19, kata Dr M


RAKYAT perlu diberi peluang untuk terus menjana pendapatan di tengah penularan Covid-19 kerana penyakit ini tidak mungkin dapat dihapuskan dalam masa terdekat, kata Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang melawat Langkawi hujung minggu lalu memberikan contoh keadaan ekonomi di Langkawi yang teruk terjejas akibat Covid-19 walaupun pulau itu bebas daripada wabak.

Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi berkata sementara menunggu penyakit Covid-19 ini dapat dihapuskan, rakyat perlu terus hidup dan menyara keluarga. 

“Mereka harus diberi peluang jika tidak negara akan mengalami kehancuran ekonomi.

“Mungkin ada sesiapa dalam kerajaan yang boleh dengar rintihan peniaga kecil seperti ini dan beri pertimbangan. 

“Saya akan terus berikan idea lain jika ianya dapat membantu,” katanya dalam satu tulisan di blognya, hari ini.

Jelas Dr Mahathir, kegiatan ekonomi di Langkawi yang bergantung pada pelancongan berubah apabila pergerakan pelancong tempatan untuk datang ke Langkawi terbatas.

“Perintah kawalan pergerakan yang dikenakan di daratan akibat Covid-19 menjejaskan industri pelancongan Langkawi,” katanya, yang melawat Langkawi selama tiga hari dari Jumaat hingga Ahad.

Sekatan perjalanan dari Lembah Klang menyebabkan jadual penerbangan dan perkhidmatan feri ke Langkawi berkurangan manakala pelancong tempatan juga tidak banyak sejak bilangan kes jangkitan Covid-19 bertambah dengan mendadak, tambahnya.

Akibatnya, banyak perniagaan terpaksa tutup sementara atau gulung tikar, kata bekas perdana menteri.

“Pusat-pusat pelancongan kelihatan sepi. Kereta-kereta sewa banyak yang tersadai kerana ketiadaan pelanggan. Restoran-restoran yang dulunya tumpuan pelancong juga sepi.

“Nyata PKP terbaru ini menjejas sektor pelancongan kerana ramai pelancong tempatan, terutamanya dari Selangor dan Kuala Lumpur tidak dapat berkunjung ke Langkawi.

“Saya khuatir kesan jangka panjang kepada ekonomi Langkawi dan kepada kehidupan penduduk pulau ini,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, ada banyak cara dan cadangan untuk memperbaiki keadaan itu namun setakat ini tidak mendapat kebenaran kerajaan, “mungkin disebabkan wabak Covid-19”.

“Tetapi jika dirancang dengan mengambil kira SOP Covid, industri pelancongan dan lain-lain industri boleh diperbaiki,” katanya.

Semua itu boleh dilakukan tanpa peruntukan kerajaan tetapi manfaatnya akan menyumbang pendapatan kepada kerajaan, tambahnya

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.