https://critoxium.com/shop/

Terkini

CIJ persoal rasional Jasa dapat peruntukan besar

 


Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk menjelaskan kewajaran peruntukan untuk unit propaganda politik kerajaan sehingga mengenepikan keperluan dan keutamaan rakyat Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah G. Naidu, kenyataan terbaru KKMM yang mendakwa peruntukan diperlukan untuk menambah kakitangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), sama sekali tidak memenuhi kepentingan awam yang menuntut keperluan akademik dan tambah baik kepakaran.

Beliau berkata, biarpun kerajaan perlu menangani masalah maklumat yang tidak benar berkaitan wabak Covid-19, namun ia tidak bermakna dana yang sepatutnya disalurkan untuk memerangi penularan berkenaan, dikorbankan dengan tujuan tersebut.

“Selain itu, tidak wajar untuk menjadikan mana-mana kerajaan atau jenteranya sebagai sumber maklumat tunggal untuk mempromosikan naratif tertentu.

“Ini kerana, ia akan menerapkan propaganda kerajaan dan kemungkinan mendorong orang ramai untuk mencari sumber alternatif di platform lain yang tidak menapis maklumat jahat (speech hate),” katanya.

Dalam pada itu , CIJ menggesa kerajaan untuk terlibat secara konstruktif dengan pihak berkepentingan khususnya media, organisasi masyarakat, para akademik, dan organisasi lain yang mampu mendorong penyebaran maklumat kepada orang ramai tanpa menggunakan kos besar untuk propaganda.

Tambah Wathshlah, adalah lebih baik sekiranya kerajaan juga menambah baik portal Sebenarnya.my yang boleh membantu menyediakan maklumat dan fakta lebih baik untuk rakyat.

Selain itu katanya, kerajaan ditegaskan untuk menghentikan sikap yang sewenang-wenangnya menyekat wacana dan pendapat umum dengan menggunakan undang-undang yang menindas seperti Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Jelasnya, undang-undang tersebut perlu dimansuhkan termasuk Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan menggubal undang-undang Hak untuk Maklumat (RTI) di peringkat Persekutuan yang akan menjamin pendedahan dan akses kepada maklumat berkaitan hal-hal kepentingan awam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.