https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Kita jaga kita' manifestasi solidariti rakyat Malaysia


KITA semakin mengakhiri 2020. Beberapa tahun lalu - jika boleh diungkap penghujung 2014 - nampaknya tidak sama dengan pengakhiran tahun-tahun sebelumnya.

Di Kelantan ketika itu contohnya, berlakunya gerakan rakyat secara spontan bangkit membantu negeri yang lumpuh akibat banjir besar terburuk dalam sejarah negara.

Kemusnahan berlaku akibat bencana alam mencetus gelombang kebangkitan rakyat yang menjadi sukarela daripada segenap pelusuk negara. Beberapa nama hebat muncul membantu mereka yang memerlukan, contohnya Raja Shamri dan Dr Hadi.

Selain individu, pusat bantuan sukarelawan seluruh negara dilancarkan rakyat untuk mengumpul dana dan keperluan asas sebagai usaha celik jiwa dan murni masyarakat biasa.

Tanpa nama dan pangkat, gerakan ini menawarkan perkhidmatan lori dan bot, malah ada menyewa helikopter demi misi bantuan ini. Matlamatnya hanya satu, iaitu menghantar keperluan kepada kumpulan sasar dengan seberapa segera yang mungkin.

Bagi yang terbabit misi bantuan seperti ini, dapat dilihat bagaimana kebangkitan rakyat mengatasi perbezaan fizikal yang sering menjadi ukuran manusia sama ada warna kulit (bangsa), kepercayaan (agama) dan sifat kenegerian.

Kini, sekali lagi negara diasak ujian demi ujian akibat serangan pandemik COVID-19. Ia merunsingkan seluruh dunia, malah melumpuhkan ekonomi dan sosial banyak negara.

Ramai kehilangan pekerjaan, situasi politik negara yang pelbagai rencah juga dilihat memburukkan psikologi rakyat.

Namun, dalam situasi ini, dapat dilihat sekali lagi kekuatan kebangkitan rakyat dengan tersohornya nama-nama seperti Ebit Lew, Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) dan Yusof Azmi muncul. Mereka bergerak atas dasar kemanusiaan dan ihsan.

Memberi bantuan asas seperti makanan dan keperluan harian memang nampak mudah dan boleh dilakukan ramai orang, tetapi berapa ramai mempunyai kekuatan fizikal, material dan psikologi untuk melakukannya?

Cukuplah membayangkan panas terik dan jerih mengharungi laut dan sungai untuk menghantar keperluan, itu pun belum semua orang sedia melakukannya.

Ebit Lew misalnya membeli dua lori tangki air serta bantuan air mineral berikutan krisis air berulang di Selangor, malah pernah menyewa kapal terbang bagi menghantar bantuan perubatan serta kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk membantu kakitangan hospital dan petugas barisan hadapan yang bergelut situasi kritikal penularan pandemik di Sabah.

Jika dibanding, usaha mungkin cukup besar buat kita dan tidak semua mampu mengadakan bantuan material seperti itu. Namun, adanya suri rumah sanggup bangun seawal Subuh menyediakan makanan untuk diagihkan ke pusat gelandangan.

Ada juga pengusaha ladang sayuran mengedarkan sayur-sayuran percuma ke rumah berdekatan, malah ada menggantung pek makanan pada pagar rumah untuk diambil jiran tetangga yang terputus bekalan makanan.

Terdapat juga gerakan berasingan individu, pereka fesyen, pelajar sekolah, orang kurang upaya (OKU), termasuklah tahanan penjara berganding bahu memulakan projek menjahit PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan sebagai tanda solidariti perjuangan rakyat.

Gerakan rakyat ini sebenarnya bukan cerita baharu. Ia bermula daripada bagaimana sejarah rakyat Melaka berjuang mempertahankan tanah berdaulat sehinggalah kebangkitan pahlawan di setiap negeri tanah Melayu seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, serta Tok Janggut yang mempertaruhkan seni tempur hebat menumpaskan lawan di hujung libasan parang.

Itu perjuangan yang menentukan siapa kita hari ini. Perjuangan hari ini yang menentang musuh 'tak dapat dilihat' mengiyakan hakikat bahawa 'kita jaga kita' bukan sekadar retorik, tetapi manifestasi rakyat Malaysia bangsa yang bangun dan berjuang sejak dahulu lagi.

Untuk tahun ini, sebelum membaca doa akhir tahun sekali lagi, kekalkanlah dan teruskanlah berjuang atas nama solidariti rakyat Malaysia.

Benar ia tidak mudah bagi semua orang, namun jika ramai menyokongnya, seberat mana pun dugaan datang, pasti mampu dijinjing.

Dr Siti Normala adalah Pensyarah Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya (UM)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.