https://critoxium.com/shop/

Terkini

Maszlee Malik tarik diri dari Pejuang


Oleh Zaim Ibrahim

MASZLEE Malik mengumumkan menarik diri dari jawatankuasa penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana tidak senang dengan percaturan politik yang berlaku pada ketika ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata keputusan tersebut dibuat setelah melakukan kajian terperinci dan memahami kehendak rakyat.

“Saya yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.

“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” kata bekas menteri pendidikan itu dalam satu kenyataan.

Maszlee berkata beliau akan menumpukan kepada gerakan perubahan dalam pendidikan sebagai wakil rakyat bebas dan melalui kerjasama dengan badan masyarakat untuk membantu rakyat.

“Saya ingin menumpahkan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan Covid-19, khususnya di Simpang Renggam dan umumnya di seluruh Malaysia.

“Saya percaya perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan tetapi keinginan dan kesempatan,” tambahnya.

Kenyataan itu menjawab teka-teki yang timbul semalam apabila namanya tidak disertakan dalam kenyataan Pejuang berhubung sokongan ke atas Belanjawan 2021.

Hanya empat nama pengasas pejuang disertakan dalam kenyataan itu - Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz, serta dua lagi ahli Parlimen Amiruddin Hamzah dan Shahruddin Md Salleh.

Perkembangan itu juga berlaku selepas Dr Mahathir menafikan beliau masih membuat percaturan politik melalui pertemuan dengan pemimpin parti seperti veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Pertemuan berkenaan, termasuk dengan Menteri Agama Zulkifli Mohamad dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu bukan untuk membentuk kerajaan perpaduan, katanya.

Dalam kenyataan yang tidak menyertakan nama Maszlee semalam, Pejuang menegaskan parti itu akan meneliti terlebih dahulu intipati Belanjawan 2021 sebelum menyokongnya.

Dr Mahathir juga menegaskan parti berkenaan tidak akan menyokong belanjawan itu secara membuta-tuli.

Maszlee merupakan ketua penerangan penaja Pejuang dalam parti yang diasaskannya bersama bekas ahli parlimen Bersatu diketuai Dr Mahathir.

Kesemua mereka gugur keahlian Bersatu kerana tidak menyokong Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.