Muhyiddin tidak peduli rakyat terdesak mahu duit KWSP
Oleh Arif Atan
Terserlah rasa tidak puas hati Muhyiddin Yassin semalam walaupun sudah enam hari ‘nasihat’ kerajaan tebuk atap untuk darurat gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Muhyiddin masih mengaitkan nasihat ‘bernasnya’ itu dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sungguh pun Agong telah bertitah tiada keperluan darurat diisytiharkan.
Kementerian Kesihatan (KKM) pun sebelum ini mengesahkan kes jangkitan Covid-19 melonjak sekali gus mengundang gelombang ketiga kerana PRN Sabah.
Imbas kembali, tarikh 20 September dijadikan rujukan untuk KKM mula mengumpulkan jumlah kes positif Covid-19 terhadap individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah yang dikategorikan sebagai “kawasan berisiko tinggi”.
Covid-19 ibarat berpesta sepanjang tempoh 14 hari berkempen dari hari penamaan calon pada 12 September hingga membuang undi 26 September apabila berduyun-duyun pemimpin, petugas parti termasuk pelancong politik dari Semenanjung bertandang ke Sabah.
Akibatnya, sebanyak 452 kes positif Covid-19 daripada pelbagai kluster yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dikesan hanya dalam tempoh sebulan mulai dari 20 September lalu.
Itu pun Muhyiddin masih beria-ia mahu PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak diadakan walaupun masih ada beberapa pilihan selain hanya beralasan keperluan pilihan raya itu selaras Fasal 1, Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, yang menetapkan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas wujud kekosongan sesuatu Parlimen.
Terdesaknya Muhyiddin ketika negara dilanda krisis Covid-19 apabila menganggap perintah darurat sebagai talian hayatnya ketika Umno yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen lebih ramai dari Bersatu mengasak dan mengugut.
Presiden Bersatu itu yang merupakan antara watak pengkhianat dalam Pakatan Harapan (PH) selain bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedang menimbang untung nasibnya menjelang persidangan Dewan Rakyat mulai esok.
Setakat kelmarin sudah ada 25 usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dibawa Ahli Parlimen pembangkang dengan hanya dua usul undi percaya terhadap Muhyiddin telah dimasukkan dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat.
Ketika jutaan rakyat yang sudah sedia hidup susah bertambah susah kerana impak Covid-19, Muhyiddin pula tentunya tidak mahu kempunan untuk membentangkan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 pada 6 November ini.
Sudahlah tidak berani menyambut cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk berunding mengenai Belanjawan 2021, Muhyiddin yang sebelum ini dipanggil ‘Abah’ sedang dirotan rakyat yang menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) buat menahan sesak berdepan wabak Covid-19.
Lihat sahaja deretan komentar di Facebook Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Rakyat yang terbeban dengan impak ekonomi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ada yang merayu dan ada yang menyindir minta supaya kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP dari Akaun 1 secara ‘one-off’ sehingga RM10,000.
Cadangan yang mula disuarakan Najib Razak itu rata-rata disambut baik orang ramai termasuk mereka yang terus-terang menggelarkan bekas Perdana Menteri berkenaan sebelum ini sebagai perompak.
Muhyiddin yang sebelum ini disanjung malah digelar ‘Abah’ oleh sebahagian rakyat yang prejudis terhadap kerajaan PH dilihat semakin menyampah pula dengannya.
Darjah ‘menyampah’ rakyat terhadap Abah kian meningkat apabila Muhyiddin beralasan kerajaan sudah menyediakan berbilion ringgit bagi membantu rakyat.
Kerajaan tebuk atap berbangga benar dengan peruntukan berbilion ringgit itu ketika realitinya berapa ratus ringgitlah yang sampai kepada setiap individu.
Rakyat masih melihat peruntukan itu tidak cukup pun untuk menyelesaikan segala jenis hutang yang tertunggak. Beban lebih terasa beratnya bagi mereka yang diberhentikan atau dipotong gaji impak pelaksanaan siri PKP.
Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) melalui kajian kedua “Keluarga di Pinggiran: Bagaimana Mereka Selepas PKP?” sudah mendedahkan realiti.
Kajian melibatkan 500 buah keluarga di 16 flat kos rendah di Kuala Lumpur kesan daripada Covid-19 menunjukkan rakyat berpendapatan rendah (B40) khususnya bagi ketua keluarga kurang upaya dan isi rumah yang diketuai wanita terpukul teruk selepas berakhirnya PKP pada Mei lalu.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, tidak seperti menurut titah Agong, Muhyiddin menambahkan berat dan beban rakyat apabila terus bermain politik.
Ketika Menteri Kewangan berlari untuk lebih cergas, rakyat mencungap berlari untuk lari dari masalah yang bertimpa-timpa.
Muhyiddin dan kerajaan tebuk atap yang terlebih muatan dengan menteri dan ramai timbalan perdana menteri pula jelas gagal dalam serba serbi. Jalan terakhir Muhyiddin mahu guna hanya darurat untuk terus kekal bergelar Perdana Menteri.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.