https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas ‘takut mati’ kuasa tegur penghina Melayu Islam

 


Oleh ARIF ATAN 

Angkuh benar Ahli Parlimen Bintulu yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing menyerang Ketua Pengarah (KP) Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Dewan Rakyat semalam.

Tuduhan “takut mati” yang dilemparkan Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China bertaraf menteri itu amat melampau ketika Dr Noor Hisham dan warga Kementerian Kesihatan telah dan sedang lelah memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Walaupun barangkali itu sindiran kepada Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba dan dua lagi timbalan yang seperti sudah halimunan, tetapi King Sing sudah jadi contoh terbaharu ahli politik bermulut puaka lagi ‘jadong’ dari kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN).

Singkatan kepada ‘jahat, bodoh dan sombong’ yang mulanya disebut ahli sosiologi tersohor, Allahyarham Profesor Syed Hussein Alatas dalam Syarahan Umum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2001 itu relevan dengan isu “takut mati” ini.

Semasa King Sing berterusan menghina seorang ketua kepada barisan hadapan negara dalam memerangi Covid-19, Ahli Parlimen Jelutong, S N Rayer bertegas menuntut pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ada 18 kerusi Parlimen itu menarik balik frasa ‘DG takut mati’.

Dr Hisham malam tadi memuat naik rumusan kes Covid-19 ini yang boleh dianggap ‘menjawab’ keceluparan MP Bintulu.

Ketika Timbalan Speaker, Datuk Seri Azalina Othman Said berkali-kali mengarahkan Rayer duduk sebelum menghalaunya dari Dewan Rakyat, boleh pula Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut bangun menyebelahi King Sing.

Ironi sekali, kalau mahu disorot dari kaca mata kaum dan agama, seorang pemimpin Umno iaitu dari parti yang dicanang memperjuangkan Melayu Islam boleh tidak rasa apa-apa pula ketika seorang pemimpin Cina bukan Islam bertubi-tubi memperlekeh pegawai kanan kerajaan yang Muslim.

Lebih parah apabila pemimpin Melayu Islam dari Umno, Bersatu termasuk ‘parti Islam’ Pas juga seperti pakat redha sahaja apabila ketua barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) dihina sebegitu rupa hanya kerana tidak turun padang ke Sabah.

Semangat Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu yang membawa kepada penubuhan Muafakat Nasional (MN) oleh Umno-Pas yang masing-masing mempunyai 39 dan 18 kerusi Parlimen itu tidak diterjemah dalam membela Dr Hisham semalam.

Bersatu yang memiliki 31 kerusi Parlimen dalam kerajaan PN pun mati kutu apabila seorang penjawat awam paling penting ketika pandemik Covid-19 dihina sebagai takut mati dan hanya budak pejabat.

Mulut mereka ibarat sudah terkunci ketika menyedari Muhyiddin Yassin amat memerlukan satu undi untuk Belanjawan 2021 diluluskan. Ditegur salah, tak tegur salah, jadi semua serba salah, bak kata lagu penyanyi 1950-an, R.Azmi.

Dr Noor Hisham dan pegawainya di Kementerian Kesihatan hampir setiap hari mengadakan sidang media memaklumkan perkembangan Covid-19.

Semangat perjuangan ketika kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang menjadi antara deretan isu menggoncang kerajaan Pakatan Harapan (PH), nampaknya sudah ‘ikat mati’ kerana yang menghina itu kini dari geng sendiri.

Kalau tohmahan “takut mati” itu dari Ahli Parlimen DAP, berlaku pula ketika PH masih jadi kerajaan, sampai akhir penggal pun tidak habis dicanang naratif Melayu Islam dipijak lagi terancam!

Sungguhpun sudah dalam kerajaan dan yang menghina pun dari blok kerajaan, boleh sahaja Pas terutamanya — jika tidak sama ‘jadong’ — mengeluarkan kenyataan yang berhikmah menegur perlakuan biadap King Sing.

Namun, sayang seribu kali sayang. Peluang Pas untuk ‘berdakwah’ dalam suasana genting itu tidak dimanfaat walaupun setidak-tidaknya boleh menjadi gula-gula kepada imej Pas sebagai pembela Melayu Islam.

Tohmahan “takut mati” oleh King Sing yang memberi mudarat itu sudah jadi relevan pula dituju kepada Pas apabila pemimpinnya terus terkunci lidah apa lagi bersuara garang tidak seperti era PH jadi kerajaan.

Mana suara lantang daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kini berjawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri?

Harapnya Ahli Parlimen Marang itu tidak buat-buat sibuk mencandat sotong ketika seorang pegawai kanan kerajaan yang Muslim dan disayangi rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama itu tiba-tiba dituduh wakil kerajaan sendiri sebagai “takut mati”.

Mana suara-suara pemimpin Pas lain yang sebelum ini bukan main sakan berangan memakai busana pahlawan Melayu dengan keris bersisip untuk “bersilat” kata mematahkan label “takut mati” yang dilemparkan King Sing?

Nasruddin Hassan

Adakah Pas sudah takut kuasa politik yang diperolehnya dengan cara tidak halal nanti terpelanting hingga tidak berani mengangkat muka bertentang mata dengan duta khas ke China yang bertaraf menteri itu?

Tiada suara pemimpin Pas untuk mempertahankan Dr Hisham yang dihadapkan dengan persoalan kematian.

Nasruddin Hassan misalnya, yang dahulu sembang kencang melalui siri ‘Sekali Serban Dililit’ malam tadi sibuk bercakap tentang Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) yang bakal berlangsung esok.

Kata Nasruddin, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang diterajuinya telah menerima banyak aduan daripada umat Islam mengenai ketidakwajaran program hiburan itu.

“… beberapa usaha dalaman telah dilakukan supaya program ini dibatalkan,” tulis Nasruddin dalam hantaran di Facebook rasminya menjelang senja semalam iaitu beberapa jam selepas Dr Hisham “difitnah” takut mati.

Walhal, ketika keceluparan mulut King Sing itu hangat diperkatakan orang ramai, mustahil Nasruddin terlepas pandang untuk sama ‘tumpang sekaki’ memberi komentar atas nama memberikan pencerahan.

Nampak benar Pas sendiri “takut mati” andai kuasa politiknya tergugat. Itu sebab tidak mahu cari pasal apa lagi menghiris hati sekutu kafirnya. Perjuangan Melayu Islam yang rancak dicanang sepanjang 22 bulan PH mendapat mandat rakyat di Putrajaya, nampaknya kini sudah Pas bungkus ikat tepi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.