Pengajaran maya pastikan guru terus beramal sebagai pendidik
Oleh Prof Dr Mohd Aderi Che Noh
PROSES pengajaran dan pembelajaran (PdP) terus berlangsung, walaupun negara melalui zaman perit pendemik COVID-19.
Anak di bangku sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi terpaksa melalui saat getir dalam proses pembelajaran demi menggali ilmu buat bekalan kehidupan.
Tidak ketinggalan guru yang juga 'barisan hadapan' pendidikan meneruskan pengajaran dengan pelbagai pendekatan dan strategik demi memastikan anak didik terus dilimpahi dengan ilmu.
Apatah lagi ilmu berkaitan dengan agama seperti sabda Nabi Muhammad SAW: Ajarkan anak-anak kamu solat sewaktu berusia tujuh tahun dan rotanlah ia ketika berumur 10 tahun (jika meninggalkan solat). (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Gesaan mendidik ini menjadikan proses PdP tetap diteruskan, walaupun berdepan suasana norma baharu dengan menyusun pelbagai strategik. Pelbagai kaedah menjadi perantaraan PdP diguna guru demi memastikan ilmu sampai kepada anak didik.
Pendidik bukan sahaja menyampaikan pengajaran bahkan mereka juga mendidik anak murid agar terbentuk akhlak dan sahsiah. Pelbagai teknik digunakan guru bagi memastikan anak didik terus dididik dan bukan sahaja diajar ilmu dalam sukatan dirancang.
Menyedari hakikat tugas guru adalah mendidik inilah menjadikan guru kini sebagai barisan hadapan meneruskan misi mulia mendidik dan mengajar menggunakan pelbagai platform digital agar ilmu terus sampai kepada anak didik.
Ini selari dengan kehendak Islam yang sangat menitikberatkan aspek pendidikan. Pendidikan yang baik akan membentuk masyarakat baik.
Perkara ini seterusnya akan mewujudkan masyarakat memahami antara satu sama lain dan harmoni. Hal ini berdasarkan firman Allah: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu kenal-berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan Nya (keadaan dan amalan kamu)." (Al-Hujurat: 13)
Seterusnya barisan hadapan yang penting juga dalam tugas mendidik zaman pandemik ialah ibu bapa dan penjaga. Sinergi bersama pendidik, ibu bapa dapat memainkan peranan penting agar anak terus mendapat ilmu daripada guru mereka.
Kerjasama ibu bapa secara senada dengan komitmen ditunjukkan guru amat berbaloi dalam memastikan anak tidak terlena diulik mimpi zaman pandemik.
Pemantauan pembelajaran terhadap tugas diberi guru dan kehadiran kelas secara maya perlu mendapat kerjasama jitu ibu bapa agar proses mengajar dan mendidik guru terus berjalan dengan sistematik dan jaya.
Apatah lagi menyedari hakikat ibu bapa ialah individu penting dalam kehidupan anak. Sebagai individu penting, mereka hendaklah menjadi tulang belakang dalam proses pendidikan dan tidak menyerahkan bulat-bulat tugas mendidik dan mengajar kepada guru di sekolah.
Berasaskan kerjasama dan komitmen ibu bapa yang senada dengan guru era pandemik ini ilmu dapat terus dikembangkan dalam diri anak.
Ilmu dapat memandu mereka ke jalan selamat dan sejahtera bukan sahaja untuk kehidupan di dunia malah di akhirat kelak.
Al-Quran jelas menerangkan keperluan pendidikan melalui ayat pertama diturunkan: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan." (Al-'Alaq: 1-5)
Ayat berkenaan memerintahkan kita terus menyediakan anak untuk mendapatkan ilmu apatah lagi dalam norma baharu kerana ilmu sebagai alat untuk beramal dan berbakti kepada Allah SWT.
Adalah menjadi kewajipan untuk menuntut ilmu daripada buaian hingga ke liang lahad bagi mencapai kebahagiaan di dunia mahupun akhirat.
Ilmu ialah objek unik yang menjadikan manusia supaya dapat mengenali pencipta-Nya, dirinya sendiri dan alam sekeliling.
Manusia berilmu akan sentiasa bersyukur dengan pengurniaan Allah SWT terhadap nikmat dianugerahkan ke atas muka bumi ini.
Kesimpulannya, ada hikmah besar dalam proses mendidik dan mengajar anak oleh guru serta ibu bapa, walaupun berada dalam zaman perit dan era pandemik COVID-19 yang mengekang semua pergerakan kehidupan.
Interaksi secara maya mampu memastikan anak terus dididik, diajar dan dibentuk kemenjadian mereka.
Firman Allah SWT: "Allah menganugerahkan al-hikmah (kefahaman yang dalam mengenai al-Quran dan sunnah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al-hikmah itu, ia benar-benar dianugerahi kurnia yang banyak. Dan hanya orang berakal yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah)." (Al-Baqarah: 269)
Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.