https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perpaduan, parti politik Melayu mantap teras kestabilan negara


Oleh Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid -

 PERIKATAN Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) boleh dianggap dua gabungan parti politik utama dalam negara. Kedua-duanya mempunyai kekuatan tertentu dan pengaruh kuat dalam politik negara.

Pembentukan sistem dua parti antara ciri struktur politik terdapat di negara maju. Kita juga nampaknya sedang menuju ke arah itu.

Dari sudut positif, ia suatu yang baik sebagai imbangan dalam pentadbiran dan politik negara. Kedua-dua pihak sentiasa berhati-hati dalam bertindak dan membuat keputusan kerana ada pihak yang akan mengimbangi.

Ketidakpuasan dan kesilapan mana-mana pihak akan dinilai dan diputuskan pengundi dalam setiap lima tahun. Nilai positif dan keberkesanan akan sentiasa dijaga dan diperbaiki bagi memastikan sesebuah pakatan politik itu mendapat sokongan besar pengundi.

Bagaimanapun, perkara paling asas perlu ada bagi kedua-dua pihak adalah teras falsafah yang tidak bercanggah kumpulan penduduk majoriti dan digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan negara.

Dalam konteks Malaysia, keperluan dan kepentingan penduduk majoriti, iaitu orang Melayu dan Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak perlu diberikan perhatian teliti.

Garis kasar diperuntukkan dalam Perlembagaan perlu diberi perhatian serius. Unsur tradisi terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan - kedudukan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong; kedudukan dan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan (khususnya Perkara 3); bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi (khususnya Perkara 152) dan kedudukan istimewa orang Melayu (khususnya Perkara 153) - harus diberi perhatian khusus dan perhitungan penting kedua-dua pakatan politik.

Perkara disebut sebagai unsur tradisi atau dipanggil juga sebagai 'tiang seri Perlembagaan' jangan sesekali disentuh.

Mahu atau tidak, unsur tradisi perlu menjadi asas utama, sama ada dalam bentuk bertulis atau aplikasi amalan politik. Apabila berkuasa menjadi kerajaan, ia hendaklah menjadi teras dan garis panduan utama dalam amalan pentadbirannya.

Perlu dielak sama sekali melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan persoalan atau tanda tanya kepada rakyat berkaitan tiang seri Perlembagaan ini.

Apa-apa yang boleh atau mungkin menimbulkan sesuatu kurang jelas, membawa kepada menyentuh tiang seri Perlembagaan hendaklah dijauhi sama sekali.

Ketidakpuasan hati orang Melayu akan memberikan kesan besar kepada kestabilan sesebuah pentadbiran didukung mana-mana parti politik.

Sesebuah kerajaan yang tidak mendapat sokongan penuh orang Melayu sebagai kumpulan penduduk utama tidak akan dapat bertahan lama. Ketidakstabilan akan berlaku dalam kerajaan itu.

Kedudukan parti politik yang berpecah dan tanpa sokongan padu orang Melayu juga tidak akan memungkinkan berlaku atau terbentuknya kestabilan sebenar.

Apa yang jelas berlaku dalam kerajaan BN sebelum ini - kemantapan dan kestabilan adalah kerana wujudnya sebuah kesepaduan politik Melayu yang berteraskan keadilan dan diterima sebahagian besar orang Melayu.

Kerajaan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak kukuh dan bertahan lama sebagaimana ketika keagungan BN. Puncanya tidak wujud satu gabungan parti politik Melayu yang kuat di dalamnya.

Tidak dinafikan bergolaknya dan kemudian runtuhnya kerajaan PH pada akhir Februari lalu kerana tidak wujudnya sebuah kedudukan parti politik Melayu yang kukuh berteraskan tiang seri Perlembagaan dalam kerajaan.

Justeru, kerajaan PN terbentuk mulai Mac lalu perlu melalui satu proses baharu berteraskan falsafah tiang seri Perlembagaan.

Ia tidak mudah dan perlu mengambil beberapa tempoh masa tertentu bagi mencapai tahap kestabilan sebenar. Teras utama dan falsafah yang perlu ada adalah unsur tradisi yang perlu mendasari kerajaan baharu itu.

PN akan mampu membina sebuah kerajaan kuat dan stabil jika mengambil kira nilai tradisi sebagai asas teras dan amalan politik dan pentadbirannya.

Orang Melayu akan memberi sokongan besar jika ia mampu berteraskan prinsip digariskan. Kedudukan Raja-Raja Melayu, Agama Islam dan hak keistimewaan orang Melayu perlu dijaga dan dibuktikan dengan jelas dalam amalan pelaksanaan dan pegangan falsafah politik.

Ringkasnya, teras dan asas utama kestabilan negara terletak pada perpaduan orang Melayu serta perpaduan dan kemantapan parti politik Melayu. Berpecahnya parti politik Melayu, kestabilan sebenar negara menjadi buntu.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.