Tiba masanya jadikan air bawah tanah, alternatif sumber air mentah negara
KUALA LUMPUR: Kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual di Lembah Klang sudah seperti "acara bulanan" kepada lebih satu juta pengguna yang terpaksa menanggung beban dan kesengsaraan apabila terputus bekalan air untuk beberapa hari.
Umpama mimpi ngeri, pencemaran
sungai yang acap kali berlaku terus mengundang resah dan bosan rakyat
yang mahu tindakan lebih konkrit diambil kerana 90 peratus sumber air
mentah negara ini diperoleh dari sumber air sungai atau air permukaan.
Lembangan
sungai yang terdedah dengan pencemaran terutama di muka sauk
menyebabkan banyak pihak mencadangkan agar kerajaan menggunakan
teknologi tinggi bagi merawat air mentah dari sumber lain seperti yang
dilakukan di negara-negara Arab dan Singapura.
Negara-negara
Arab misalnya menggunakan air laut sebagai sumber air mentah yang
diproses menjadi air minum dan kegunaan harian manakala Singapura,
menggunakan air sisa kumbahan yang diproses menjadi air minuman.
Meningkatkan
rizab air dengan mencari sumber lain seperti air laut dan air bawah
tanah antara pilihan terbaik yang boleh dilakukan bagi menjamin sumber
air daripada sebarang krisis dan tidak terlalu bergantung kepada sumber
air dari sungai semata-mata.
Pengerusi
Malaysia Water Engineers Action Committee (MyWAC) Ishak Hasnan berkata
sudah tiba masanya loji rawatan air (LRA) dilengkapi dengan sumber air
mentah alternatif yang lebih terjamin bebas daripada pencemaran yang
dapat mengurangkan kebergantungan kepada air sungai.
Sumber
air tanah, katanya dilihat sebagai pilihan terbaik kerana kualiti air
bawah tanah yang ada di negara ini berpotensi untuk dieksploitasi dan
digunakan sebagai sumber air mentah.
"Negeri
Kelantan telah menggunakan 53 peratus air bawah tanah sebagai sumber
air mentah di LRA-nya. Kajian kuantiti, kualiti dan kaedah rawatan yang
sesuai ke atas air bawah tanah perlu dicari," katanya kepada Bernama,
baru-baru ini.
Ini kerana air bawah tanah
biasanya mengandungi bahan seperti ferum dan mangan terlarut yang lebih
tinggi berbanding air sungai di samping bahan-bahan mineral terlarut
lain. Bahan-bahan ini memerlukan kaedah yang khusus untuk
mengurangkannya ke paras yang selamat digunakan.
Menjelas
lanjut, Ishak berkata sudah terdapat teknologi dari luar untuk merawat
air bawah tanah tetapi kosnya agak tinggi dan bagi mengurangkan kos
tersebut, teknologi dan kepakaran tempatan perlu dibangunkan.
"Di
negara barat mereka memelihara sungai dengan baik tetapi mereka banyak
menggunakan air bawah tanah sebagai sumber air mentah. Denmark
menggunakan 99 peratus air bawah tanah sebagai sumber air, Switzerland
sebanyak 83 peratus. Ini menyebabkan mereka tidak terlalu bergantung
kepada air permukaan sebagai sumber air mentah," katanya.
Sejak
September, tiga kali gangguan bekalan air berlaku disebabkan pencemaran
sungai dengan yang terbaharu Selasa lepas apabila LRA Sungai Selangor
Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas setelah
pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor, dikatakan berpunca daripada
pembuangan sisa dari sebuah premis di Taman Velox, Rawang yang melakukan
pelepasan secara haram.
Ishak berkata
kadar rizab air yang tinggi perlu disediakan yang meliputi rizab air
mentah, rizab kemampuan rawatan loji dan rizab air bersih.
Takat
simpanan air bersih yang ada di sebahagian negeri adalah kurang
daripada lima peratus atau kurang daripada satu hari keperluan.
"Ini
menyebabkan apabila LRA terpaksa dihentikan tugas, gangguan air akan
mudah berlaku, Sepatutnya simpanan ini perlu dinaikkan
sekurang-kurangnya ke paras 20 peratus. Lebih banyak simpanan lebih baik
untuk pengguna," katanya.
Sementara itu,
Pakar Kualiti Air dan Permodelan Kualiti Air Dr Zaki Zainudin berkata
kekangan dari segi kos antara isu utama dalam penggunaan teknologi
tinggi bagi merawat air yang boleh meningkat empat kali ganda berbanding
kaedah sedia ada.
Kerajaan Negeri
Selangor boleh mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi termaju
dalam merawat air secara bersasar dengan memberi fokus kepada loji-loji
yang berisiko tinggi mengalami gangguan disebabkan pencemaran.
Antara loji di Sungai Selangor adalah LRA Rantau Panjang manakala di Sungai Langat pula di LRA Semenyih dan Tampoi.
Bagaimanapun,
bagi beliau aspek mencegah lebih baik daripada merawat, dengan pihak
berkuasa seharusnya mengambil tindakan mencegah pencemaran daripada
berlaku dengan memantapkan lembangan sungai supaya tidak membenarkan
industri berisiko tinggi berada di hulu muka sauk.
"Selagi ada industri di hulu muka sauk, akan tetap ada risiko pencemaran dan gangguan air akan terus berlaku," kata Zaki.
-- BERNAMA
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.