https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas Kedah terkena tempias


Kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang sering menimbulkan kontroversi dikhuatiri memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap Pas di negeri itu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Antarabangsa daripada Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, rakyat Kedah adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum.

Sehubungan itu, beliau berkata, soal berkaitan kepentingan semua kaum perlu dijaga sebaiknya.

Menurutnya, Pas Kedah juga tidak boleh menggunakan konsep sama diamalkan Pas di Kelantan dan Terengganu yang mempunyai majoriti penduduknya hampir 90 peratus adalah Melayu dan Islam.

“Kalau di Kelantan tidak ada Exco (dilantik) daripada orang bukan Islam, tetapi di Kedah sejak negara merdeka sampai sekarang, kita kena ada (Exco) daripada masyarakat minoriti Cina dan India.

“Jadi perkara ini perlu didepani Pas. Parti itu tidak boleh selesa dengan keadaan semasa atau untuk mengambil kira formula bahawa jika undi Pas dicampur dengan undi UMNO, maka mereka boleh bentuk kerajaan.

“Kalau trend ini diguna pakai secara mutlak, maka pengabaian kepada masyarakat lain (minoriti) akan jadi tinggi dan mewujudkan keselesaan tidak realistik dengan situasi semasa “Saya yakin pimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga tidak selesa dengan perkembangan ini kerana mereka sentiasa bekerjasama dengan kaum minoriti dalam menghadapi pilihan raya,” katanya

Beliau mengulas impak mungkin berlaku terhadap kedudukan Pas di Kedah berikutan kenyataan Muhammad Sanusi yang sering menimbulkan kontroversi termasuk keputusan terbaharu kerajaan negeri Kedah untuk membatalkan cuti umum Thaipusam di negeri itu.

Sementara itu, Md Shukri berkata, kontroversi dibangkitkan Menteri Besar Kedah itu boleh dielakkan jika pemimpin itu sentiasa menjaga sensitiviti khususnya membabitkan agama dan kaum di Kedah.

Beliau turut menasihatkan Pas lebih berwaspada dengan kemungkinan berlaku anarki dalam kepimpinan parti itu serta protes senyap di peringkat akar umbi.

Menurutnya, itu belum mengambil kira percaturan politik UMNO walaupun dua parti itu berada dalam satu gabungan Muafakat Nasional (MN), selain Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan pihak pembangkang di negeri itu.

“Rakyat melihat tetapi ambil pendekatan senyap, protes senyap termasuk penyokong UMNO dan Pas ketika kesetiaan mereka masih belum lagi teruji.

Mungkin ada orang UMNO tak selesa dengan Pas dan sebaliknya.

“Sinonim dengan Pas di Kedah adalah bendera. Kalau dahulu bendera Pas berkibar seluruh negeri tanda taat pada parti, tapi berbeza dengan sekarang.

“Mungkin (sekarang) ada ketidakselesaan dalam kalangan akar umbi Pas sendiri.

“Kemungkinan juga ada dalam kalangan ahli Pas masih menyokong atau ada sentimen nostalgia dengan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang kini Presiden Parti Amanah Negara.

“Itu belum lagi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, (Datuk Seri) Mukhriz Mahathir atau kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim serta Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Muhammad Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 pada 17 Mei 2020 menggantikan Mukhriz.

Dalam tempoh tujuh tahun, Kedah mempunyai empat orang Menteri Besar berikutan pergolakan politik yang berlaku seterusnya membawa kepada pertukaran kerajaan di negeri tersebut.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.