https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kes wanita diugut 'Ahli Parlimen' selesai secara baik


KUALA LUMPUR: Kes seorang wanita mendakwa diugut seorang 'Ahli Parlimen' yang tular di media sosial, semalam diselesaikan secara baik setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak memanjangkan perkara itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata kejadian itu berpunca daripada salah faham apabila lelaki terbabit meletakkan kenderaannya di hadapan rumah wanita itu di Jalan Persiaran Jalan Ampang, dekat sini.

"Kejadian berpunca daripada kenderaan suspek yang diletakkan di hadapan rumah pengadu dan menghalang kenderaan pengadu untuk keluar.

"Ekoran itu berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek. Ketika pertengkaran, suspek didakwa mengugut mangsa dengan mengatakan beliau adalah seorang Ahli Parlimen," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan kejadian itu, katanya mangsa membuat satu laporan polis di balai polis berhampiran dan kedua-dua pihak dipanggil untuk membantu siasatan dan pada masa sama, lelaki terbabit turut membuat satu laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju.

"Hasil siasatan mendapati kejadian ini berlaku akibat salah faham antara mangsa dan suspek.

"Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan hal ini secara baik dan tidak mahu kejadian ini

dipanjangkan," katanya.

Katanya lagi, lelaki terbabit bukan seorang Ahli Parlimen sebaliknya pembantu kepada seorang Ahli Parlimen dan mangsa tersalah dengar ketika pertengkaran.

"Memandangkan mangsa dan suspek sudah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik, maka kes ini diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut).

"Kita ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan menjaga hubungan baik antara satu sama lain agar kejadian seperti ini dapat dielakkan dan menjaga keharmonian antara kaum di negara ini," katanya.

Terdahulu tular di media sosial satu hantaran dipercayai dimuat naik oleh mangsa menunjukkan satu salinan laporan polis berserta kapsyen menyatakan beliau diugut seorang 'Ahli Parlimen'.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.