https://critoxium.com/shop/

Terkini

Varian baharu COVID-19: Syarat kemasukan pengembara luar diperketatkan

 


KUALA LUMPUR: Kerajaan mengetatkan syarat kemasukan pengembara yang baru tiba dari negara yang dilaporkan mengalami penularan virus SARS-CoV-2 jenis VOC, termasuk varian South African B.1.351.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata berikutan itu pengembara yang masuk ke negara ini perlu menjalani ujian swab bagi pengesanan jangkitan COVID-19 tiga hari sebelum tarikh mereka berlepas.

"Mereka juga dikehendaki menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di stesen kuarantin dengan tempoh kuarantin dipanjangkan daripada 10 kepada 14 hari.

"Selain itu, perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan ketika ini serta perlu menjalani ujian calitan kedua pada hari ke-10 dalam tempoh kuarantin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan lebih banyak penularan virus VOC di negara ini.

"Virus SARS-CoV-2, penyebab jangkitan COVID-19 kerap bermutasi bagi memastikan kelangsungan hidupnya dalam persekitaran bersama manusia.

"Perubahan itu menyebabkan wujudnya varian bagi virus SARS-CoV-2 dan varian yang membimbangkan ini boleh mengakibatkan berlaku penularan jangkitan dengan pantas, selain menyebabkan gejala teruk dan komplikasi.

"Selain itu, ia juga boleh mengurangkan keberkesanan perlindungan yang diberikan oleh vaksin serta sukar mengesan jangkitan melalui ujian makmal tertentu," katanya.

Ismail Sabri berkata, selain varian South African B.1.351, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyenaraikan varian B.1.1.7 yang mula dilaporkan di United Kingdom serta B.1.1.28 atau P1 yang dilaporkan di Brazil dan Jepun sebagai varian yang membimbangkan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.