https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pakar perjelas mengapa orang ramai sanggup langgar peraturan Covid-19

 


KUCHING: Ketibaan vaksin Covid-19, persepsi bahawa wabak itu adalah fenomena sementara dan sikap tidak peduli rakyat Malaysia adalah antara alasan orang ramai kembali menghadiri acara sosial, kata pakar.

Pakar psikologi dan kriminologi Geshina Ayu Mat Saat dari Universiti Sains Malaysia berkata, orang ramai mula selesa, percaya bahawa mereka akan disokong oleh penjagaan kesihatan kerajaan yang baik yang akan meningkatkan peluang mereka untuk terus hidup. Ketersediaan vaksin Covid-19 juga membuatkan orang ramai cuai.

“Selain itu, sikap tidak peduli masyarakat seperti kurangnya minat terhadap berita dan isu-isu yang dibangkitkan di platform tempatan dan antarabangsa juga mengakibatkan peningkatan kluster berkaitan perhimpunan sosial.

“Bagi sebilangan orang, apa yang dibangkitkan dalam berita dilihat sebagai sebahagian dari agenda politik dan manipulasi kerajaan walaupun sebenarnya berita atau mesej seperti itu adalah penting,” katanya

Pakar psikologi klinikal Lum Khay Xian dari Relate Mental Health Malaysia pula merasakan, rasa selesa itu mungkin disebabkan oleh keletihan tingkah laku, di mana orang ramai mulai bosan dengan pelbagai peraturan untuk mencegah jangkitan Covid-19, dan kurangnya motivasi untuk mematuhi peraturan.

“Sebahagian mereka bergelut mematuhi SOP dan berusaha untuk mendapatkan rasa normal dan merasa bahagia melalui acara sosial dan perjumpaan,” katanya, sambil menambah yang lain mungkin menganggap mereka tidak akan dijangkiti Covid-19, iaitu keadaan yang dikenali sebagai ‘optimism bias’ (kecenderungan bagi individu untuk memandang rendah kebarangkalian mereka mengalami kesan buruk walaupun jelas).

Beliau berkata, ‘optimism bias’ mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, seperti berita mengenai vaksinasi, liputan Covid-19 di media yang kurang, dan jumlah kes yang lebih rendah.

“Ini dapat menimbulkan persepsi bahawa mereka berisiko rendah terkena jangkitan, dan mereka mempertimbangkan untuk kurang mematuhi SOP berbanding sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, ahli kriminologi P Sundramoorthy berkata, tahap kesedaran kesihatan dan keselamatan awam yang rendah dan kurangnya integriti adalah penyebab utama orang ramai masih melakukan perkara yang tidak dibenarkan.

Beliau berkata, orang ramai gagal menimbang kebaikan dan keburukan dalam membuat keputusan dan tidak menyedari bahawa hanya dengan beberapa kesilapan akan menyebabkan kerosakan yang serius seperti menyebabkan wujud kluster baharu.

“Sebilangan mereka bersedia mengambil risiko dan melanggar peraturan bila mereka mengetahui kemungkinan ditangkap atau dikesan oleh agensi penguatkuasaan adalah minimum – terutamanya membabitkan pertemuan keluarga dan majlis sambutan hari jadi yang diadakan di kediaman dan premis persendirian.

“Oleh itu, berlakunya peningkatan kluster dari perhimpunan sosial, katanya.

“Ini adalah sikap umum masyarakat Malaysia, tidak hanya ketika pandemik tetapi dalam banyak aspek kehidupan harian mereka, seperti ketika mereka berada di jalan raya, di mana mereka secara terang-terangan melanggar peraturan lalu lintas.”

Beliau berkata, ini juga sebab Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai kadar kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya.

“Sikap dan tingkah laku seperti itu tidak dapat diubah sekelip mata. Satu-satunya cara adalah dengan meningkatkan penguatkuasaan dengan ketara,” katanya.

“Selain itu, kita perlu mula mendidik anak muda tentang pentingnya integriti – kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku selepas Covid-19. Adakah terdapat wabak lain? Apabila kita mempunyai generasi yang berintegriti tinggi, kita dapat memastikan kepatuhan yang tinggi terhadap pelbagai undang-undang dan peraturan, yang akan membantu mengurangkan angka kematian,” tambahnya.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata peningkatan jumlah kes Covid-19 di Sarawak sejak awal tahun ini membimbangkan, sambil menambah kementerian itu sedang mengambil langkah-langkah untuk membendung peningkatan itu.

Katanya, Sarawak mencatatkan 39 kluster masyarakat dalam empat bulan terakhir, 21 daripadanya berasal dari perhimpunan sosial. Beliau berkata terdapat juga 17 kluster tempat kerja yang aktif di negeri itu pada masa ini.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.