Pembukaan Masjid Razaleigh mirip Masjidil Haram ditangguh lagi
GUA MUSANG: Impian penduduk di sini untuk mengerjakan solat tarawih di Masjid Razaleigh yang mirip Masjidil Haram Mekah pada bulan Ramadan ini masih belum tercapai.
Ini
kerana, pembukaan masjid bernilai RM32 juta itu, yang dijadual pada 17
Ramadan ini, terpaksa ditangguh berikutan penularan COVID-19 yang masih
belum reda sepenuhnya.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata,
pembinaan masjid itu sudah siap sepenuhnya namun pembukaannya terpaksa
ditangguh selepas melihat situasi pandemik ketika ini yang
membimbangkan.
"Pastinya
pembukaan masjid ini ditunggu-tunggu oleh ramai pihak terutamanya dalam
kalangan rakyat, namun Tengku (Razaleigh Hamzah) bimbang jika mereka
yang datang ini dalam kuantiti yang ramai, pasti akan menyebabkan SOP
(prosedur operasi standard) tidak dipatuhi.
"Begitu juga, Tengku berhasrat menjemput seramai mungkin pemimpin-pemimpin dalam negara.
"Oleh
kerana masih banyak negeri yang tidak boleh direntas dan arahan
merentas negeri ini masih belum dibuka oleh pihak MKN, maka Tengku
memikirkan bahawa masjid ini belum sesuai dibuka," katanya pada Isnin.
Mula
dibina pada akhir 2016, masjid yang diilhamkan Tengku Razaleigh, Ahli
Parlimen Gua Musang itu, dilengkapi sembilan menara setinggi 30 meter
dan tujuh kubah mirip Masjidil Haram.
Sementara itu, penduduk yang ditemui menyatakan akur dengan keputusan itu susulan situasi COVID-19 ketika ini.
Antaranya, Norfadzlete Aryani Mat Rosli yang setuju perasmian masjid itu ditangguhkan.
"Walaupun kita tahu Masjid Razaleigh ini merupakan paling canggih di Malaysia dan jadi tumpuan para pelancong.
"Mana-mana
rakyat negeri Kelantan, anak-anak muda yang berada di luar, anak jati
Kelantan yang balik ke Kota Bharu, Kuala Krai, mesti akan singgah di
Masjid Razaleigh.
"Ini kerana, masjid ini paling canggih dan seperti Masjidil Haram di Mekah," katanya yang juga Ketua Puteri UMNO Gua Musang.
Pekerja
swasta, Zamri Zakaria, pula berkata, dia setuju pembukaan masjid
ditangguh sementara disebabkan wabak yang semakin merebak di negeri ini.
"Mudah-mudahan selepas (wabak) reda, mungkin masjid ini akan dibuka secara rasmi," katanya.
Masjid
Razaleigh yang berkeluasan 21,336 meter persegi itu mempunyai ruang
solat yang boleh memuatkan 3,500 jemaah pada satu-satu masa.
Ia turut dilengkapi dengan bilik mandi jenazah lelaki dan perempuan, bilik kuliah, pejabat imam dan dewan makan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.