https://critoxium.com/shop/

Terkini

Umno mahu tiru Pas, Melayu jadi hipokrit


Oleh DATUK ZAID IBRAHIM  

Saya bukan mahu berceloteh panjang, tetapi dalam keadaan Umno tenat sekarang ini, saya teringat kisah lama yang berlaku 30 tahun dahulu, yang relevan dengan hari ini.

Selepas Pas dan Semangat 46 tewaskan Umno di Kelantan 39-0 (jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri, sekarang sudah bertambah kepada 45 kerusi), pemimpin Umno masa itu memberitahu ahli-ahli, kita mesti ikut cara Pas, barulah kita dapat menawan hati rakyat.

Kalau pemimpin Pas kerap ke masjid dan petah baca doa, maka kita buatlah seperti mereka. Kalau mereka berjubah dan berjanggut, ikut sajalah cara mereka. Apabila mereka haramkan makyong dan dikir barat, janganlah buat bising. Maka diterapkanlah dasar Islamisasi dalam kehidupan rakyat Melayu dan rakyat Malaysia oleh pemimpin Umno di seluruh negara kerana nak jadi lebih Islam dari Pas.

Cara tersebut memudaratkan Umno. 30 tahun sudah berlalu. Hari ini, tapak Umno terlalu lembut untuk rakyat berpijak. Pemimpin Umno tidak menunjukkan ada solidariti antara mereka. Mereka bercakap tentang perjuangan parti, tetapi kepada orang ramai nampak seperti perjuangan peribadi yang diutamakan.

Meniru itu bukan perjuangan. Sepatutnya, Umno kekal sebagai parti untuk semua kaum; tetapi dia lebih minat jadi parti perkauman. Umno sepatutnya jadi parti yang progresif, yang membawa negara ke hadapan; dan bukan parti yang bernostalgia kepada Melayu yang hanya hidup dalam mimpi mereka.

Pandangan saya mereka gelar “sekular”. Saya bukan sekular, cuma saya bukan hipokrit. Saya bimbang apabila Melayu jadi hipokrit mereka hilang pedoman. Mereka tidak kenal kesetiaan, setiakawan atau siapa kawan dan lawan.

Hipokrasi tidak boleh membawa kita mengenali keadilan yang sabenar; atau keikhlasan dalam perhubungan. Hipokrit tidak malu meminta perhimpunan Umno dijalankan dengan segera, sedangkan Parlimen tidak perlu bersidang walaupun itu adalah tuntutan Perlembagaan.

Hipokrit akan berkata pengundi tidak matang jika umur sekadar 18 tahun, tetapi matang untuk berkahwin dan menjadi ibu walaupun 13 tahun. Mereka memberi tafsiran berbeza tentang rasuah apabila kumpulan mereka terlibat.

Apabila hipokrasi tebal dalam sanubari Melayu, sukar untuk mereka mempertahankan nilai demokrasi dan berjiwa besar dalam mentadbir negara. Sukar bagi mereka menerima nilai kemanusiaan dan menolong kumpulan yang tertindas.. Sukar bagi mereka menjadi pemimpin kepada rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Hipokrit mereka menghalang mereka menerima pendekatan yang boleh memajukan negara. Mereka akan buat janji seperti akan menubuhkan negara Islam, tetapi mereka tahu, apabila ada di Putrajaya omong mereka kosong sahaja.

Malangnya, ada kumpulan dalam Umno yang kagum dengan cara Pas. Pas parti yang menggunakan agama sebagai alat politik, sepatutnya tidak boleh dibuat petunjuk.

Presiden Umno baru-baru ini berkata, Umno akan pinda Perlembagaan untuk jadikan undang-undang syariah diutamakan. Janji seperti ini samalah dengan janji Pas. Dia tidak akan terlaksana kerana Malaysia, sebagai sebuah negara, sudah jauh berubah dari zaman Sultan Mahmud di Melaka dulu.

Kita ada banyak puak dan kaum di negara. Kita ada Sabah dan Sarawak. Kita ada hubungan dengan negara di seluruh dunia. Mustahil janji seperti itu akan dilaksanakan. Apa perlu berjanji perkara yang kita tidak boleh ditepati?

Kita akan berjaya menubuhkan kerajaan Islam tulen, apabila kita tidak lagi gila kuasa, bila Rule of Law dilaksanakan dengan adil, apabila kita sedar ada perbezaan antara baik dan buruk, kebenaran dan kebatilan dan halal dan haram.

Pas sampai hari ini tidak menerima keluhuran Perlembagaaan. Mereka masih kata Perlembagaaan ini sekular. Mereka kata Mahkamah Persekutuan silap tafsiran. Inilah parti yang dipilih oleh Perdana Menteri untuk membawa Malaysia yang tahap cemerlang di arena antarabangsa.

Tanyalah Ustaz Hadi Awang sama ada pendirian Pas sudah berubah. Umno mahu ikut jalan yang sama dengan Pas? Berilah orang Melayu dan rakyat Malaysia pilihan. Berilah kepada orang Melayu dan rakyat berbilang kaum perjuangan yang lebih baik untuk membasmi kemiskinan mereka.

Agama suci bukan untuk kita tunjukkan bahawa kita pandai berdoa atau berapa kali kita ke masjid. Islam yang kita anuti berpaksi kepada tindakan mulia dan kerja amanah yang kita buat dan pertahankan kebenaran dalam kita berpolitik dan mencari kuasa.

MIC dan MCA juga telah tinggalkan Umno, bererti BN sudah tidak ada lagi. Mereka sekarang diyakinkan bahawa Bersatulah Umno “baru”. Kita tidak terkejut di atas tindakan mereka.

Apabila Umno asal diharamkan tahun 1987, MCA dan MIC sedar pengharaman itu dibuat untuk merampas kuasa dari mandat ahli Umno yang bersidang. Mereka bersekongkol dengan kepimpinan Umno untuk kekal kuasa.

Mereka bukan lagi faham erti setiakawan dan keluhuran perjuangan politik seperti masa menuntut kemerdekaan. Mereka fikir yang penting pihak mana menjamin mereka kekal berkuasa. Itulah perjuangan mereka.

Umno tidak perlu sentimental kepada MCA dan MIC. Kawan seperti mereka mudah dicari, tetapi tidak kekal untuk mencari kekuatan politik baru. BN baharu mesti dirombak dan dipikul oleh pejuang dan kumpulan politik baharu.

Umno mesti berpandangan bahawa dunia masih luas dan era mencari kuasa cara “mudah” sudah berakhir. Carilah pejuang dan kumpulan politik yang lebih ikhlas, walaupun sukar dan mengambil masa. Berilah politik instant ala segera berkuasa kapada pihak lain.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.