https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dah untung RM3.6 bilion, TNB digesa lupuskan tunggakan bil elektrik

 


Oleh ARIF ATAN

Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj berpendapat kerajaan perlu menyediakan mekanisme melupuskan tunggakan bil elektrik untuk keluarga yang telah hilang pendapatan kerana Covid-19.

Menurut Setiausaha Negeri PSM Melaka itu, tindakan kerajaan mengekalkan rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2 sen/kWj untuk tempoh 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021 amat dialu-alukan.

Namun begitu, jelasnya, terdapat ribuan keluarga dengan gaji harian telah hilang pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga mengalami masalah terputus bekalan makanan.

“Tunggakan bil elektrik untuk sektor domestik (rumah) telah meningkat daripada RM1.39 bilion pada September 2020 kepada RM1.62 bilion pada Mac 2021.

“Malah, bilangan isi rumah dengan tunggakan melebihi lima bulan juga sedang meningkat dengan mendadak,” kata Sharan dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar untuk menyediakan mekanisme pelupusan tunggakan bil elektrik dengan menggunakan keuntungan TNB yang dijana tahun lalu bernilai RM3.6 bilion.

Untuk rekod, TNB memperoleh keuntungan selepas cukai RM3.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM4.45 bilion pada 2019.

Pendapatan bagi tahun dikaji turut berkurangan 13.7 peratus kepada RM44 bilion berbanding RM50.9 bilion tahun sebelumnya berikutan jualan elektrik yang lebih rendah dan pelarasan ICPT.

Pelarasan ICPT sebanyak RM3 bilion itu disebabkan harga bahan api yang rendah berbanding kedudukan surcaj RM1.9 bilion pada tahun kewangan 2019.

Menurut pihak TNB, keuntungan bersih yang rendah itu adalah disebabkan kesan yang teruk akibat wabak Covid-19 serta PKP yang menyekat aktiviti ekonomi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.