https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tengku Razaleigh mulakan petisyen gesa Parlimen bersidang sebelum 1 Ogos

 


Oleh

PARLIMEN mesti bersidang sebelum perisytiharan Darurat berakhir pada 1 Ogos, kata Tengku Razaleigh Hamzah sambil menggesa kerajaan berhenti mempertikaikan perintah dan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Saya harap orang ramai akan menyokong petisyen ini agar Parlimen dapat bersidang segera.

“Kita mahu Parlimen bersidang semula sebelum 1 Ogos dan tidak menunggu sampai Oktober. Kelewatan (oleh kerajaan) bukan mengenai menguruskan Covid-19 tetapi mengekalkan kuasanya,” kata ahli Parlimen Gua Musang yang berusia 82 tahun di Facebook secara langsung hari ini.

Tengku Razaleigh bercakap pada pelancaran petisyen awam bagi mendesak agar Parlimen bersidang sebelum darurat tamat pada 1 Ogos.

Walaupun kerajaan Perikatan Nasional belum menyatakan bila Parlimen akan bersidang selepas titah Agong minggu lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Parlimen akan bersidang sekurang-kurangnya pada September.

Speaker Parlimen Dr Rais Yatim dan Azhar Azizan Harun berkata Parlimen dijangka dapat bersidang semula secara hibrid pada akhir Ogos atau awal September. 

Susulan kritikan orang ramai, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Dr Rais Yatim dan Azhar Azizan Harun menyatakan sesi hibrid hanya boleh diadakan paling awal minggu pertama September.

Tetapi pengkritik seperti Tengku Razaleigh tidak bersetuju kerana percaya kerajaan menangguhkan Parlimen dengan perintah darurat.

“Kerajaan sudah mengambil pelbagai tindakan tetapi ini tidak memperbaiki keseluruhan situasi pandemik,” katanya.

Lebih daripada itu katanya, perintah darurat oleh kerajaan juga tidak membantu situasi Covid-19.

“Itu hanya alasan politik dan tidak ada kaitan dengan nasib rakyat,” kata veteran Umno itu.

Susulan titah Agong pada 16 Jun, Tengku Razaleigh berkata, tidak perlu lagi menunda Parlimen atau membahasan makna “secepat mungkin” atau adakah Raja-Raja Melayu harus mengatakan sesuatu mengenai Parlimen.

“Agong dan Majlis Raja-Raja mempunyai hak untuk campur tangan dan tidak boleh dipertikaikan kerana ini ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mari kita dapatkan sebanyak mungkin tandatangan untuk petisyen ini bagi mendesak kerajaan mengadakan persidangan Parlimen sebelum 1 Ogos,” kata Tengku Razaleigh.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.