https://critoxium.com/shop/

Terkini

3 kesimpulan Ku Nan dibebaskan dan dilepaskan


 Peguam Dr Zulqarnain Lukman membuat tiga kesimpulan berhubung kes yang membabitkan Tengku Adnan Mansor atau Ku Nan yang dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya, lima tahun lalu.

Tiga kesimpulan itu adalah derma politik boleh dijadikan pembelaan kalau dituduh di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Kedua, orang Melayu Islam khasnya yang pegang jawatan menteri dan sebagainya boleh minta derma politik berjuta-juta daripada orang Cina bukan Islam.

Dan ketiga katanya, meminta derma politik perlu dibuat secara kreatif supaya selamat daripada pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berikut kenyataan Dr Zulqarnain berhubung kes bekas Menteri Wilayah itu;

Pertuduhan terhadap Ku Nan:

“Bahawa kamu, pada 14 Jun 2016, di CIMB Bank Berhad Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk diri kamu sendiri suatu barang berharga dengan dengan tiada balasan, iaitu, wang berjumlah RM2,000,000.00 daripada Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank bernombor 136822 milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd. yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn. Bhd. no. akaun 8001179747 yang di dalamnya kamu mempunyai kepentingan, yang mana kamu ketahui syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd. ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi kamu sendiri, dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan.”
Di peringkat Mahkamah Tinggi, beliau telah didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Fakta Kes:

Ku Nan adalah Menteri Wilayah Persekutuan pada ketika itu.

April 2013, Kementerian itu telah melancarkan program rumah mampu milik RUMAWIP untuk bina 80 ribu buah rumah di atas tanah DBKL. Ku Nan telah minta Tan Sri Chai (TS Chai) (Saksi Pendakwaan Ke-19) untuk turut terlibat dalam projek ini.

TS Chai terlibat melalui syarikat Aset Kayamas. Pada 26.1.2015, Aset Kayamas memberikan surat cadangan kepada DBKL untuk beli sebahagian tanah DBKL itu.

Aset Kayamas dan DBKL memasuki Perjanjian Jual Beli pada 1.6.2016. Ku Nan adalah SU Agung UMNO pada masa itu. Dalam keterangan, Ku Nan telah meminta derma politik dari TS Chai sebanyak RM5 – 6 juta untuk digunakan dalam PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang akan diadakan pada 18.6.2016.

Ku Nan telah minta TS Chai untuk memberikan derma melalui syarikat Tadmansori Sdn Bhd. Dalam keterangan TS Chai – dia tidak tahu syarikat itu milik siapa, dia tak fikir untuk tanya Ku Nan kenapa derma perlu dibuat kepada syarikat dan bukan kepada UMNO. TS Chai beri derma politik RM2 juta kerana itulah kemampuannya pada waktu itu. TS Chai arahkan stafnya tulis cek bertarikh 14.6.2016, dua hari sebelum PRK.

Ku Nan serah cek kepada drebar dia pada hari yang sama dan cek itu clear dalam akaun Tadmansori pada 16.6.2016. Bank sahkan Tadmansori tidak bayar kepada UMNO. Tadmansori juga tiada sebarang kaitan dengan Aset Kayamas. Semasa sesi soal balas, TS Chai mengakui terima resit dari UMNO dan terus keluarkan resit UMNO no. 376241 bertarikh 4.6.2016 berjumlah 2 juta dengan ditulis ‘Sumbangan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar’. Resit ini jadi ekshibit mahkamah. TS Chai nyatakan resit itu diberikan kepadanya 2 hari selepas beliau beri cek itu.

Selepas keterangan mengejut itu, SPRM telah membuat serbuan ke pejabat UMNO dan ada saksi sahkan Ku Nan ada tandatangani resit itu atas kapasiti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan dan bukan untuk UMNO Ibu Pejabat.

Dapatan Mahkamah;

Elemen yang wajib dibuktikan adalah bahawa RM2 juta itu dibayar kepada Ku Nan dan bukan kepada orang lain atau entiti lain.

Peguam Ku Nan berhujah bahawa Hakim Bicara khilaf bila mana gagal untuk menimbangkan pembelaan bahawa RM2 juta itu adalah derma politik (political donation).

Oleh kerana TS Chai adalah saksi pendakwaan dan keterangan TS Chai sendiri mengakui bahawa RM2 juta itu adalah derma politik dan bukan untuk Ku Nan maka pendakwaan adalah terikat dengan keterangan saksinya sendiri.

Keterangan Pegawai Penyiasat juga menyatakan bahawa RM2 juta itu adalah derma TS Chai untuk PRK Kuala Kangsar dan Sg Besar.

Mahkamah dapati pendakwaan juga gagal untuk soal semula TS Chai berkaitan isu ini. Tiada impeachment dibuat ke atas saksi ini juga. Resit itu juga tidak dibuktikan sebagai palsu. Hakim Bicara gagal untuk timbangkan hal-hal itu menyebabkan sabitan ke atas Ku Nan tidak selamat.

Keputusan majoriti Mahkamah Rayuan ini diputuskan oleh Hakim Soraya Othman dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin.

Hakim Dissenting;

Hakim Abu Bakar Jais menyatakan bahawa tiada sebab untuk beliau ganggu dapatan Hakim Bicara dengan mengambil kira antara lain Ku Nan pada masa itu berkhidmat untuk negara dan hukuman yang dikenakan juga telah menimbangkan kedahsyatan kesalahan itu (gravitiy of the offence)

(Sumber: Press Summary COA- 16.7.2021)

Kesimpulan

1) Derma politik boleh dijadikan pembelaan kalau dituduh di bawah seksyen 165 Kanun Keseksaan.

2) Orang Melayu Islam khasnya yang pegang jawatan menteri dan sebagainya boleh minta derma politik berjuta-juta daripada orang Cina bukan Islam.

3) Meminta derma politik perlu dibuat secara kreatif supaya selamat daripada pertuduhan SPRM

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.