https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pengungkaian Ordinan Darurat mesti dibentang dan diundi segera

 


KAMI, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menyeru Kerajaan dan Yang Di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat untuk mengizinkan Ahli-ahli Parlimen mengemukakan, berdebat dan mengundi usul untuk membatalkan enam Ordinan Darurat (OD) sebelum persidangan berakhir pada 2 Ogos (Isnin) supaya Dewan Negara boleh menyempurnakan pengungkaian dalam persidangannya dari 3 Ogos (Selasa) hingga 5 Ogos (Khamis).

Dalam teguran langsung yang belum pernah terjadi sebelum ini oleh Istana Negara hari ini, pembatalan OD yang didakwa pada 21 Julai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan pada hari Isnin, 26 Julai, yang kini disahkan sebagai “tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat” oleh Istana Negara. 

Kini terungkap bahawa majlis menghadap maya pada 24 Julai (Sabtu) yang diperkenankan kepada Menteri dan Peguam Negara Idrus Harun, Istana tidak memperkenan pembatalan tersebut tetapi mengesyorkan agar OD dibentang dan dibahaskan untuk diungkaikan.

Tuan YDP Azhar Azizan Harun, atau mana-mana timbalannya yang mempengerusikan mesyuarat itu, mesti memakai Peraturan Mesyuarat 90 dan 100 bersama-sama dengan Peraturan Mesyuarat 26(1)(m) bagi menegaskan kuasa dan kawalan Dewan Rakyat ke atas urusannya, supaya usul untuk mengungkai OD dapat dibentang, dibahas dan diundi dengan segera. 

Keputusan YDP sebelum ini terhadap Takiyuddin Hassan bagi menjelaskan mengenai perkara ini kini tidak lagi relevan melihatkan keadaan semasa.

Tidak kira apa-apa perubahan kepada Kerajaan dan mana-mana jemaah menterinya serta pegawai-pegawai kanan kerajaan, pengungkaian OD mesti dijadikan agenda utama sekarang. 

OD harus diungkaikan sehingga tiada lagi keraguan bahawa OD tidak akan terus berkuatkuasa sehingga 1 Februari 2022, selama enam bulan lagi setelah berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos seperti dinyatakan Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya, OD No. 6 memperuntukkan kompaun berjumlah RM 10,000 dan RM 50,000 kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP), sementara OD No. 2 memperuntukkan hukuman maksimum enam tahun penjara dan denda RM 500,000 kerana kesalahan berkaitan berita tidak benar. 

Semua OD ini, serta Proklamasi Darurat itu sendiri, dibuat ketika Parlimen tidak bersidang dan mesti dibahas dan diungkai dalam persidangan ini dan tidak ditangguhkan ke persidangan berikutnya pada bulan September.

Kami juga menyokong usul oleh YB Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Puchong untuk merujuk Takiyuddin Hassan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana dakwaannya yang tidak berasas mengenai pembatalan OD. 

YDP, atau timbalannya yang mempengerusikan mesyuarat itu, tidak boleh mencemari Dewan dengan keputusan yang bersifat kepartian dan tidak profesional. 

Tingkah laku YDP dalam empat hari ini telah menunjukkan pada tahap yang sangat rendah bahkan dengan penurunan standard Dewan sejak Julai yang lalu.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti. 

* Ditandatangani oleh:
1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
2. ENGAGE
3. Bait Al-Amanah
4. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
5. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
6. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.