Bolehkah Yang di-Pertuan Agong Pecat Perdana Menteri?
SAYA terpanggil untuk berkongsi pandangan perundangan mengenai isu ini kerana sejak akhir-akhir ini, ada yang menyatakan pandangan dan tafsiran Perlembagaan tanpa mengambil perhatian kepada keseluruhan peruntukan Perlembagaan.
Sekiranya ini berlaku, maka tafsiran
itu tidak akan dapat menepati semangat Perlembagaan dan semangat
demokrasi serta keseluruhan sistem pentadbiran negara.
Hubungan antara Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara dengan
Ketua Kerajaan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hubungan
antara Sultan atau Raja dan Yang di-Pertua Negeri di negeri dengan
Menteri Besar serta Ketua Menteri, adalah diperuntukkan dalam
Undang-Undang Tubuh Negeri atau Perlembagaan Negeri masing-masing.
Bagi tujuan tulisan ini, saya merujuk kepada hubungan antara Yang
di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri mengenai kuasa berkaitan pelantikan
dan pemecatan. Peruntukan berkenaan pelantikan Perdana Menteri dapat
dilihat dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, tiada
peruntukan yang boleh disebut secara spesifik mengenai kuasa Yang
di-Pertuan Agong untuk memecat Perdana Menteri.
Seperti dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri
dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui kuasa budi bicara baginda.
Kuasa budi bicara di sini bermaksud kuasa yang dilaksanakan oleh Yang
di-Pertuan Agong tanpa nasihat daripada mana-mana pihak. Kuasa
pelantikan ini disandang oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi Perkara
40(2) Perlembagaan Persekutuan.
BERTINDAK IKUT BUDI BICARA
Perkara 40(2) itu menyatakan, 'Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak
menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi berikut, iaitu: (a)
melantik seorang Perdana Menteri; (b) tidak memperkenankan permintaan
bagi pembubaran Parlimen; (c) meminta diadakan mesyuarat Majlis
Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan,
kemuliaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa
tindakan pada mesyuarat itu dan dalam apa-apa hal lain yang disebut
dalam Perlembagaan ini'. Peruntukan ini adalah jelas memberikan kuasa
kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perlembagaan menyatakan dalam Perkara 43 bahawa, (1) Yang di-Pertuan
Agong hendaklah melantik Jemaah Menteri untuk menasihatinya dalam:
perjalanan fungsinya. (2) Jemaah Menteri hendaklah dilantik seperti
berikut, iaitu: Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik
sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang
ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan
majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan (b) atas nasihat Perdana Menteri,
Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri lain dalam kalangan
ahli mana-mana satu Majlis Parlimen'.
Menerusi Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan yang dipetik di atas,
jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik sembarangan
orang yang disukainya sebagai Perdana Menteri. Seseorang itu hanya boleh
dilantik Yang di-Pertuan Agong sekiranya beliau seorang Ahli Dewan
Rakyat dan pada hemat baginda seseorang yang mendapat kepercayaan
majoriti Ahli Dewan.
Syarat penting yang perlu diberi perhatian besar oleh Yang di-Pertuan
Agong ketika melantik Perdana Menteri ialah kepercayaan majoriti ahli
Dewan Rakyat. Perlembagaan tidak menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan
Agong memecat Perdana Menteri.
Persoalan yang dibangkitkan ialah, adakah autoriti yang mempunyai kuasa
melantik akan juga mempunyai kuasa memecat. Prinsip umum ialah sesiapa
yang mempunyai kuasa melantik juga mempunyai kuasa memecat, tetapi jika
kuasa melantik itu disandarkan kepada pengaruh atau syarat lain, maka
kuasa memecat adalah juga tertakluk kepada syarat lantikan berkenaan.
Prinsip ini dapat dilihat dalam Seksyen 29 Jadual Ke-11 Perlembagaan Persekutuan.
'Kuasa melantik termasuklah kuasa untuk membuang kerja. Jika satu
undang-undang bertulis memberi mana-mana orang atau pihak berkuasa,
kuasa untuk membuat perlantikan bagi memegang apa-apa jawatan atau
kedudukan, maka melainkan jika terdapat niat berlawanan, kuasa itu
hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau
menggantung mana-mana orang yang dilantik dan melantik seorang lain buat
sementara bagi menggantikan mana-mana orang yang digantung atau bagi
menggantikan mana-mana pemegang jawatan atau kedudukan yang sakit atau
tidak hadir.
Dengan syarat jika kuasa orang atau pihak berkuasa itu untuk membuat
pelantikan hanya boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada
kelulusan atau persetujuan seseorang atau sesuatu pihak berkuasa lain,
maka melainkan jika terdapat niat berlawanan, kuasa membuang kerja hanya
boleh dijalankan atas syor atau tertakluk kepada kelulusan atau
persetujuan orang atau pihak berkuasa yang lain itu.
Jadual Ke-11 ini dibaca dengan Perkara 160(1) Perlembagaan Persekutuan.
Ia bertajuk Peruntukan Ordinan Tafsiran dan Fasal Am 1948 (Ordinan
Malayan Union No 7 tahun 1948), yang terpakai bagi Mentafsirkan
Perlembagaan.
KEPERCAYAAN MAJORITI
Jika diperhatikan peruntukan di bawah Perkara 43(2) di atas, kuasa Yang
di-Pertuan Agong untuk melantik adalah bergantung kepada 'kepercayaan
majoriti Ahli Dewan', maka jika dibaca Seksyen 29 di atas pemecatan
Perdana Menteri juga adalah bersyarat dengan kehilangan kepercayaan
majoriti Ahli Dewan.
Penegasan yang perlu dibuat di sini ialah kepercayaan majoriti hendaklah
datang daripada Ahli Dewan, bukan mana-mana pihak di luar Dewan,
walaupun proses hilang kepercayaan itu boleh berlaku di luar Dewan.
Sebagai rumusan, kuasa memecat Perdana Menteri tidak tertakluk kepada
kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, walaupun kuasa melantik adalah
kuasa budi bicara baginda. Yang di-Pertuan Agong hanya boleh memecat
Perdana Menteri sekiranya baginda yakin mengenai kehilangan kepercayaan
majoriti Ahli Dewan dan baginda enggan membubarkan Dewan sekiranya
diminta oleh Perdana Menteri. Keadaan ini disebut dalam Perkara 43(4).
Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz
Disiarkan oleh Berita Harian pada 12 Oktober 2016
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.