https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bergabung semula atas mandat PRU14, seru Mat Sabu


 SEMUA ahli Parlimen yang menang atas tiket Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 harus bersama untuk kembali membentuk kerajaan, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu, susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, mereka mesti bersatu untuk melaksanakan mandat yang rakyat berikan, yang sebelum ini dirampas melalui percaturan politik pada hujung Februari 2020.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini,” tulisnya di Facebook.

Mohamad berkata pemimpin PH perlu berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat yang mengharapkan krisis kesihatan dan ekonomi kesan pandemik Covid-19 selesai.

Mohamad membuat komentar itu tidak lama selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menulis di Instagram mengesahkan peletakan jawatan Jemaah Menteri hari ini.

Beberapa menteri juga kemudian menulis di media sosial mesej berbentuk rakaman penghargaan dan kenyataan perpisahan, antaranya Hishammuddin Hussein, Annuar Musa, dan Mohd Khairuddin Aman Razali.

Kenyataan Mohamad muncul ketika PH berusaha mencukupkan sokongan yang diperlukan untuk menamakan pengerusi parti Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan turut menyeru blok pembangkang tidak membuang masa dan kembali bersama segera untuk menggantikan kerajaan Muhyiddin.

Beliau menggunakan istilah “pendekatan khemah besar” – merujuk kerjasama PH dan parti pembangkang lain – untuk menuntut kembali mandat mereka sebagai kerajaan yang dipilih mengikut perlembagaan oleh rakyat.

Lim dan Mohamad malah sejak beberapa bulan lalu, sejak Belanjawan 2020 lulus di Dewan Rakyat, menyeru semua ahli pembangkang bergabung untuk melawan Muhyiddin dan pentadbiran Perikatan Nasional.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.