https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bersatu, PAS, Umno perlu bersama dalam kerajaan, kata Hadi

 


TIGA parti Melayu – Bersatu, PAS, dan Umno – perlu bersama dalam kerajaan demi perpaduan kaum dan agama, kata presiden parti Islam itu Abdul Hadi Awang.

Langkah penyatuan Melayu-Islam itu perlu dilaksanakan sebagai mencontohi peristiwa hijrah Nabi Muhammad, katanya dalam satu kenyataan melalui siaran video di Facebook.

Abdul Hadi menegaskan, usaha tersebut perlu dilakukan melalui Muafakat Nasional, gabungan yang dibentuk terlebih dahulu dengan Umno pada 2019.

“Kita menyatukan orang Melayu orang Islam… melalui tiga parti orang Islam – PAS sendiri, Umno dan Bersatu di samping orang Islam Sabah dan Sarawak.”

Abdul Hadi berkata perkara itu akan dilaksana di negeri yang dikuasai PAS di tiga negeri dan juga akan dilaksana di peringkat persekutuan.

Menurutnya, pendirian bagi penyatuan Melayu-Islam itu dibuat dalam satu mesyuarat.

“Ini langkah yang kita ambil, pendirian yang tegas kita ambil dalam mesyuarat ini. Alhamdulillah PAS ada tapak perintah negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Kita bina di atas tapak yang kita memerintah ini dalam masa sama kita bersama rakan-rakan kita di pusat untuk membawa agenda ini,” katanya.

Duta khas bertaraf menteri dalam Kabinet Muhyiddin itu menambah, parti Perikatan Nasional pula akan menjadi gabungan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem, katanya.

Kenyataan itu timbul sewaktu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin teruk diasak Umno dengan 14 ahli Parlimen parti tersebut di blok pembangkang selepas menarik diri dari menyokong kerajaan.

Pemimpin Umno di Kelantan dan Terengganu pula yakin bahawa kerjasama Muafakat Nasional sudahpun berkubur di negeri terbabit.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.