Ibu hamil perlu segera divaksin, jangkitan COVID-19 selepas 28 minggu lebih berisiko - Pakar
KUALA LUMPUR: Ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 pada usia kandungan 28 minggu dan ke atas berdepan risiko mengalami simptom lebih serius seperti pneumonia, berbanding usia kandungan lebih muda.
Sehubungan
itu, Pakar Obstetrik & Ginekologi & Feto-Maternal Prof Dr
Jamiyah Hassan menyarankan golongan ini agar divaksin segera bagi
mengelak risiko tidak diingini.
Dr
Jamiyah mengakui, ketika ini, kebanyakan ibu-ibu hamil yang dijangkiti
COVID-19 akan mendapat simptom yang rendah, namun risiko semakin tinggi
bergantung kepada usia kandungan.
Vaksin,
menurut beliau, berperanan melindungi diri daripada mendapat jangkitan
yang lebih serius atau berdepan risiko bayi dilahirkan pramatang.
“Ibu-ibu
mengandung mempunyai risiko mendapat infeksi dari COVID-19 kerana
ketahanan badan mereka dalam menangani jangkitan virus itu ketika
mengandung adalah rendah.
"Dari segi
garis panduan, mengandung itu sendiri adalah risiko (mudah mendapat
penyakit), jadi kita sarankan kepada semua wanita mengandung untuk
mengambil vaksin,” katanya.
Dari
segi kelahiran, jelas Prof Dr Jamiyah, bukan semua ibu yang mendapat
jangkitan COVID-19 perlu melakukan kelahiran secara pembedahan.
Sebaliknya,
ia bergantung kepada keadaan kesihatan ibu, katanya yang juga Pakar
Perunding dan Pensyarah Pelawat Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Ia
bergantung kepada simptom yang dialami ibu. Sekiranya perlu dimasukkan
ke hospital, bermaksud simptom yang dialami si ibu adalah serius dan
memerlukan bantuan pernafasan.
“Walaupun kita tahu bayi adalah sangat penting, tetapi bagi kita, nyawa ibu adalah lebih penting.
"Untuk menyelamatkan ibu dari segi bantuan pernafasan, adalah baik untuk keluarkan bayi dan fokuskan kepada ibu,
“Walaupun
dari segi dasarnya, mereka yang dijangkiti COVID-19 mahu bersalin
secara normal melalui saluran peranakan, ia tidak menjadi masalah.
"Ini kerana, kita tahu potensi jangkitan kepada bayi secara kelahiran normal adalah kecil,
“Bagaimanapun,
sekiranya ibu hamil tadi perlukan bantuan pernafasan, cara yang tepat
untuk mengeluarkan bayi adalah melalui pembedahan.
"Ini
kerana, kita ingin menyelamatkan ibu, kerana nyawa ibu sangat penting.
Tetapi, bukan semua ibu hamil yang dijangkiti COVID-19 perlu melalui
pembedahan,” jelasnya.
Beliau menerangkan, wanita hamil disaran menerima vaksin ketika usia kandungan di antara minggu ke-14 dan minggu ke-33.
Ini bagi memastikan mereka mendapat perlindungan terbaik semasa trimester ketiga, tambahnya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.