https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin hilang sokongan jadi PM, kata Zahid


UMNO sudah mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong surat penarikan balik sokongan ahli Parlimennya kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin dengan itu sudah hilang majoriti untuk terus kekal menerajui kerajaan, katanya.

“Surat akuan ahli Parlimen Umno yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sekaligus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan dengan ini terbatal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno, sebentar tadi.

Zahid diapit 10 ahli Parlimen Umno yang dikatakan menarik balik sokongan mereka, antaranya bekas perdana menteri Najib Razak (Pekan), pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang) dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan (Pontian).

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said yang juga ahli Parlimen Pengerang turut hadir semasa pengumuman Zahid.

Ahli-ahli Parlimen Umno yang lain ialah Abdul Azeez Rahim (Baling), Noh Omar (Tanjung Karang), Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Mohd Nizar Zakaria (Parit) dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub yang sudah mengumumkan penarikan sokongannya kepada kerajaan Muhyiddin pada 9 Januari lalu juga hadir.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang bukan ahli Parlimen berdiri di sebelah Zahid.

Pengumuman Zahid berlangsung tidak lama selepas Menteri Tenaga dan Sumber Asli Shamsul Anuar Nasarah mengeluarkan kenyataan bertulis letak jawatan menteri kabinet Muhyiddin.

Umno bersama Yang di-Pertuan Agong

Menurut Zahid, Umno tidak lagi dapat bersama Muhyiddin dan kerajaannya selepas mereka berselisih pandangan dengan Yang di-Pertuan Agong berhubung soal pembatalan ordinan darurat.

“Umno memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal di mata rakyat,” katanya.

Tindakan Umno juga selaras dengan perlembagaan parti, yang mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Raja Berperlembagaan, tambahnya.

Zahid berkata kenyataan Muhyiddin hari ini, mahu membawa usul ke Parlimen untuk mengungkai ordinan darurat, tidak menjernihkan masalah.

Kenyataan itu menyerlahkan kesilapan kerajaan Muhyiddin menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong, malah mempersenda baginda, tambah Zahid.

Presiden Umno mengingatkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah beberapa kali menihatkan agar ordinan darurat dibahas dan diungkai sebelum 1 Ogos, dan bukan pada September seperti yang dicadang oleh Muhyiddin hari ini.

Letak jawatan

“Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat,” kata Zahid.

Zahid membacakan kenyataan bertulis yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno yang berlangsung secara dalam talian petang ini.

Penarikan balik sokongan ahli Parlimen Umno ini dibuat 27 hari selepas Zahid mengumumkan Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.