https://critoxium.com/shop/

Terkini

PM tak muncul tetiba, datangnya dari Raja

 


BUKAN sahaja berbelas ribu kes Covid-19 naik setiap hari diikuti penuh bimbang rakyat Malaysia, kemelut ditimbulkan parti-parti politik yang memuncak malam kelmarin dan semalam terhadap sokongan kepada Perdana Menteri turut jadi perhatian.

Hakikat kepada penyelesaian isu ini termasuk polemik berapa jumlah surat sokongan atau akuan bersumpah (SD) sekiranya ada, biarlah kita serahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk merungkaikan.

Lagipun, jawatan Perdana Menteri bukannya muncul secara tiba-tiba. Punca terwujudnya jawatan ketua kerajaan itu adalah daripada Raja-raja Melayu sendiri.

Sesiapa yang menelusuri sejarah Perlembagaan Persekutuan cukup maklum bahawa sebelum merdeka, Semenanjung Tanah Melayu diperintah oleh Raja-raja walaupun menerusi pentadbiran British.

British pun hormat kepada Raja terutama menerusi para penasihatnya seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford dan Mubin Sheppard. Penglibatan tokoh-tokoh akademik seperti R.J Wilkinson, A. Caldecott, Richard Winstedt selaku sarjana dalam hal ehwal Melayu turut mendukung sistem Malaya.

Kerana Raja-rajalah, orang Melayu mendapat Perdana Menterinya sendiri. Ia bermula dari Perjanjian Persekutuan Malaya bagi pihak British dan Raja-raja Melayu pada 21 Januari 1948 yang menubuhkan secara rasmi Semenanjung Tanah Melayu.


Tidak lama kemudian, kemenangan menakjubkan Tunku Abdul Rahman Putra dan 51 ahli yang lain daripada UMNO, MCA dan MIC dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam Pilihan Raya Majlis Persekutuan 1955 menyakinkan British bahawa Malaya perlu dikembalikan kepada rakyat Malaya. Tunku dilantik Ketua Menteri Malaya yang pertama.

Pembentukan Suruhanjaya Reid pada Februari 1957, antara lain menyemai benih kerajaan dalam draf Perlembagaan Persekutuan Malaya. Suruhanjaya berpendapat Persekutuan sepatutnya mempunyai Kerajaan Persekutuan yang kukuh. Yang di-Pertuan Agong (digelar Yang di-Pertuan Besar dalam laporan Suruhanjaya Reid) adalah puncak Eksekutif walaupun kuasa eksekutif sebenar di tangan Perdana Menteri yang dibantu oleh ahli-ahli Kabinet beliau.

Di bawah tajuk “Tanggungjawab dan Tempoh Jawatan Menteri-menteri dan Jangka Hayat Parlimen”, Suruhanjaya itu melaporkan: “Kami mengesyorkan (Artikel 35) bahawa ia sepatutnya menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Besar untuk melantik Perdana Menteri Persekutuan. Perdana Menteri mestilah seorang ahli Dewan Rakyat. Yang di-Pertuan Besar biasanya akan melantik pemimpin parti yang mendapat sokongan bilangan besar dalam Dewan Rakyat kerana tidak ada orang lain yang dapat menguasai keyakinan Dewan, tetapi mungkin ada ketikanya wujud keraguan mengenai siapa yang patut dilantik, dan kita lihat tidak ada alternatif lain yang praktikal untuk membiarkan Yang di-Pertuan Besar untuk memilih orang yang difikirkannya dapat menguasai keyakinan Dewan Rakyat…”

Isu darurat yang dikatakan pembangkang sebagai ‘krisis kerajaan Perikatan Nasional (PN)-Istana’, elok Perdana Menteri selesaikan dengan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu, bukan oleh `orang luar’. Baginda Tuanku berkuasa untuk menentukan habis tempoh atau mahu ditempohkan awal penamatan proklamasi darurat dan ordinannya yang ada pada Perkara 150 (3).

Semua kenyataan parti-parti politik kepada titah Tuanku dimulakan dengan perkataan “menjunjung kasih”. Marilah kita tidak kira kalangan pemimpin-politik dan rakyat menterjemahkannya dalam bentuk paling asas – berpegang kepada prinsip demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Perlembagaan.

Daulat Tuanku!

Zulkifli Jalil ialah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.