https://critoxium.com/shop/

Terkini

NGO alam sekitar kecam tindakan S'gor nyah warta hutan simpan Kuala Langat


Dua NGO alam sekitar mengecam tindakan kerajaan Selangor menyahwarta sebahagian hutan simpan Kuala Langat Utara sebagai hutan simpan kekal serta kurangnya ketelusan mengenai perkara itu.

Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (PHSKLU) dan Tindakan Pemuda untuk Hutan Malaysia (MyHutan) berkata, penyahwartaan itu melanggar hak Orang Asli yang tinggal di kawasan itu.

“Gabungan PHSKLU mengecam keras keputusan kerajaan negeri Selangor, yang diketuai oleh Menteri Besar Amirudin Shari untuk menyahwarta kawasan hutan simpan Kuala Langat Utara seluas 536.7 hektar pada 5 Mei 2021.

"Kami mengecam kurangnya rundingan awam dengan pihak berkepentingan dan kurangnya informasi terperinci mengenai proses dan hasil inkuiri awam mengenai penyahwartaaan hutan simpan berkenaan," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mereka berkata inkuiri awam dilakukan hampir setahun lalu tetapi belum ada keputusan yang dilaporkan atau perbincangan awam selanjutnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, MyHutan juga menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban di sebalik keputusan kerajaan negeri kerana akan menyebabkan pengusiran masyarakat Orang Asli di sana.

"Tidak dapat disangkal bahawa terdapat banyak perbezaan pendapat dari masyarakat di hutan simpan Kuala Langat Utara seperti Orang Asli, penduduk dan juga masyarakat awam," kata MyHutan.

PHSKLU mendakwa Jabatan Perhutanan menerima lebih 45,000 bantahan, manakala petisyen dalam talian telah mengumpulkan sekitar 130,000 tandatangan sejak dua tahun lalu.

"Kempen #HutanPergiMana pada Oktober 2020 mendapati 1,500 orang menghantar e-mel bantahan dalam masa sebulan kepada wakil rakyat di Selangor.

"Rakyat Selangor yang diwakili oleh Adun mereka telah menyatakan dengan jelas - tidak ada lagi penyahwartaan hutan simpan di Selangor.

"Keputusan untuk menyahwarta hutan simpan Kuala Langat Utara secara terang-terangan mengabaikan mandat rakyat," kata mereka.

Hutan simpan Kuala Langat Utara, kata mereka, adalah hutan paya gambut berusia 8,000 tahun, salah satu kawasan terakhir paya gambut di selatan Selangor.

MyHutan berkata paya gambut di hutan simpan itu juga bertindak sebagai penampan terhadap banjir dan juga penyerap karbon.

Semalam kerajaan negeri Selangor mengakui telah menyahwarta 54 peratus hutan Simpan Kuala Langat Utara pada Mei lalu.

Perkara berkenaan didedahkan ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Langkah ini akan membolehkan 536.7 hektar daripada keseluruhan kawasan seluas 991.9 hektar hutan itu dieksploitasi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.