https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mengenang Sudirman pada hari merdeka


 Sudirman, namanya sangat besar di tanah air kita, selain P Ramlee. Semangat dan jiwa patriotik yang ada dalam diri beliau tiada siapa yang boleh menafikan, mungkin boleh disamakan dengan Gombloh, legenda penyanyi folk dari Surabaya yang popular dengan lagu-lagu kecintaannya terhadap Indonesia seperti lagu Kebyar Kebyar

Bezanya Sudirman mengungkapkan rasa kasih melalui lagu Warisan dengan ungkapan yang penuh tertib dan lembut susunan kata-katanya sementara Gombloh penuh dengan semangat yang berapi-api seperti katanya:

“ Biarpun bumi bergoncang
Kau tetap Indonesiaku
Andaikan matahari terbit dari barat
kau pun Indonesiaku
Tak sebilah pedang yang tajam
dapat palingkan daku darimu”

– Kebyar Kebyar( Gombloh 1979)


Dalam lagu Warisan, antara lirik dan bait yang menarik seperti,

“ Aku bukanlah seorang perwira
gagah menghunus senjata
namun hati rela berjuang
walau dengan cara sendiri
demi cinta ini” 

-  Warisan – Sudirman

Tahun 1982 Sudirman mengabadikan rasa cintanya pada Malaysia dalam bentuk album yang berkonsepkan patriotik yang berjudul Abadi. Tidak mudah untuk seorang penyanyi dapat apa yang dia mahu melalui syarikat rakaman kecuali Sudirman, juga tidak ada penyanyi yang berjaya mengadakan konsert di tengah jalan raya Chow Kit, dengan mendapat kebenaran dari pihak DBKL kecuali Sudirman

Saya membesar dengan lagu Sudirman sejak beliau menang pertandingan Bintang RTM 1976. Suara Sudirman ni average, tak lah hebat macam suara Jamal Abdillah atau Saleem, tapi unik dari segi intonation, voice projection dan penghayatan pada setiap lagu yang dinyanyikan.

Lagu Tanggal 31 bukanlah lagu asal Sudirman. Lagu tersebut dicipta dan dinyanyikan oleh penyanyi Ahmad CB pada tahun 1957 bersempena tahun kemerdekaan Tanah Melayu waktu itu. Cuma rentaknya yang perlahan dan seakan kurang semangat membuatkan lagu Tanggal 31 seakan dilupakan sehinggalah Sudirman dengan gubahan semula oleh S.Atan berjaya menjadikan lagu ini evergreen sehingga ke hari ini

Sudirman adalah insan seni genuine yang berjiwa marhaen, yang tidak dibuat-buat. Lagu-lagunya untuk rakyat marhaen dalam berbagai genre seperti joget, inang, asli, rock, zapin, Melayu Deli, pop, ballad antaranya.

Kita boleh dengar lagu-lagu seperti Seruling Anak Gembala, Aku Penganggur, Toyol, Mat Disko, atau albumnya yang menarik seperti album Lagu Anak Desa yang diterbitkan pada tahun 1980 dengan lagu yang menarik seperti Anak Gembala, Kau Akan Kembali dan Aku Pengangggur.

Album ini diterbitkan sewaktu saya di Tingkatan 1, saya cukup tertarik dengan cover album tersebut yang sangat biasa; Sudirman duduk di bangku belakang sebuah bas persiaran, dengan pakaian dan kasut biasa, menggambarkan watak anak muda yang biasa saja.

Tertarik sebab biasanya cover album artis ni penuh dengan imej yang glamour, dengan dressing dan cermin mata, cara pandang pun ada style, jadi cover album Sudirman ni memberikan saya satu pencerahan yang mengubah persepsi saya tentang imej dan value seseorang artis itu terletak pada kejujuran, bukan imej yang bergemerlapan semata-mata.

Sudirman adalah ikon seni untuk semua bangsa, seperti P.Ramlee, baik bangsa Cina, Melayu mahupun India, semua bangsa meminatinya.

Ramai yang nak jadi macam Sudirman, begitu juga ramai yang nak jadi P.Ramlee, tapi bak kata Penghulu Bunian dalam filem Sumpah Orang Minyak: “ itu barang mustahil”

Kalau tiru atau imitate dari segi imej itu mungkin tapi untuk meniru suara Sudirman, vocal range dan penghayatannya, itu tidaklah semudah kita menyanyi lagu Happy Birthday.

Sudirman, usianya tidak panjang, meninggal pada tahun 1992 pada usia 37 tahun. Jasanya dihargai selepas kematiannya dengan anugerah gelaran Datuk.

Dan apabila teringat akan kemerdekaan, saya teringat lagu Tanggal 31 yang dinyanyikan oleh legenda kebanggaan kita ini.

Hanya ada satu Sudirman, the one and only.


MEOR YUSOF AZIDDIN ialah seorang penulis dan pemuzik jalanan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.