https://critoxium.com/shop/

Terkini

Memang Patut Pun Ismail Sabri DiJatuhkan


Kata bekas Perdana Menteri, Najib Razak, Bersatu kini sedang menyusun propaganda untuk menumbangkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
 
Beliau berkata, objektif utama mereka berbuat demikian adalah untuk mengembalikan Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri.
 
“Beberapa page propaganda PPBM-PN telah pun memulakan serangan bertubi-tubi ke atas Ismail Sabri.
 
“Isu utama yang mereka gunakan sekarang ialah kenaikan harga barang biarpun inflasi sudah mula naik mencanak dan harga sering cecah paras tertinggi sejak era Mahiaddin jadi Perdana Menteri lagi,”katanya dalam catatan di media sosialnya.
 
Paling membimbangkan, tambah Najib ialah kerana menteri-menteri dalam kerajaan Ismail Sabri yang bertanggungjawab mengatur dasar ekonomi, pertanian, kewangan, perladangan yang mempengaruhi harga barang-barang, khususnya makanan adalah datang daripada parti yang mahu menumbangkan Perdana Menteri itu.
 
“Mereka serang Ismail Sabri berkenaan harga barang naik tapi sebenarnya mereka juga yang bertanggung jawab atas dasar-dasar yang disebabkan harga barang naik,” katanya lagi.
Hakikatnya, inilah realiti kerajaan Keluarga Huru-Hara yang ada sekarang ini.
 
Jangan salahkan menteri-menteri saja sebab mereka dilantik oleh Ismail Sabri sendiri.
 
Kalau menteri-menteri yang mengatur ekonomi, pertanian, kewangan dan perladangan datang daripada Bersatu, bukanlah Perdana Menteri yang melantik mereka?
 
Gagal mereka bermakna gagalnya Ismail Sabri, lagi pula ikan busuk bermula daripada kepala.
 
Ini baru salah-menyalah tentang kenaikan harga barang, esok lusa entah berkenaan isu apa lagi mereka akan berbalah.
 
Pokoknya, kerajaan ini tidak akan aman, malah sentiasa berbalah dan jatuh-menjatuh.
 
Dulu, UMNO yang menjatuhkan Mahiaddin melalui tindakan beberapa Ahli Parlimennya mengumumkan mereka menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.
 
Lalu naik Ismail Sabri, maka tentulah Bersatu pula akan cuba untuk menjatuhkannya.
Itulah adatnya – yang naik melalui cara menjatuhkan orang lain, tidak mustahil ia juga akan dijatuhkan kemudiannya.
 
Walaupun UMNO dan Bersatu sedang bersama-sama membentuk kerajaan di peringkat pusat, mereka ini sebetulnya langsung tiada keikhlasan antara satu sama lain.
 
Ismail Sabri sendiri tidak percaya dengan sebahagian Ahli Parlimen UMNO dan mereka daripada Bersatu, sebab itu langkah paling awal dilakukannya sebaik menjadi Perdana Menteri ialah mencari PH untuk mewujudkan MOU dengan mereka yang tujuan asasnya ialah menjaga jawatannya.
 
Walaupun tujuan MOU itu agar PH kekal menyokong dan tidak menjatuhkannya, ketakutan sebenar Ismail Sabri ialah kepada kelompok tertentu dalam UMNO dan juga Bersatu.
 
Sepatutnya, beliau tiada kebimbangan sama sekali kepada mereka yang sedang bersamanya dalam kerajaan serta dalam masa yang sama diberikannya pelbagai jawatan.
 
Begitu pun, jika benar gerakan mahu menjatuhkan Ismail Sabri itu sedang disusun dan berjalan, ia sebetulnya memang patut pun dilakukan.
 
Tetapi, bukanlah dengan tujuan untuk mengembalikan semula Mahiaddin sebagai Perdana Menteri, tetapi lebih kerana Ismail Sabri sendiri terbukti telah gagal dan tidak berbuat apa-apa dalam tempoh 100 hari yang baru dilepasinya pada 28 November lalu.
 
Kalau Mahiaddin dianggap sebagai Perdana Menteri yang gagal, lalu kemudian dijatuhkan hanya setelah 17 bulan, Ismail Sabri jauh lebih gagal lagi kerana dalam tempoh 100 hari saja sudah merata-rata ternampak kegagalannya.
 
Sebagaimana telah ditulis sebelum ini, tempoh 100 hari pemerintahannya hanya mampu membuktikan satu perkara – seperti Malaysia ini tidak ada Perdana Menteri keadaannya.
 
Kecuali jika kita mahu terus hidup tersiksa melihat negara tidak berubah dan harga barang terus naik mencanak tanpa sebarang tindakan segera dilakukan seolah-olah kita tidak mempunyai kerajaan dan tiada Perdana Menteri, barangkali ia adalah satu-satunya alasan untuk membiarkan Ismail Sabri bertahan lebih lama sebagai Perdana Menteri. – ShahbudinHusin 
 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.