Komplot naikkan harga tambang, ‘kartel’ Ro-Ro Langkawi didenda RM2.2 juta
PETALING JAYA: Akibat berkomplot menaikkan harga tambang, Suruhanjaya Persaingan (MyCC) mengenakan denda RM2.2 juta terhadap tiga pengendali Ro-Ro Langkawi serta dua lagi syarikat berkaitan.
Dalam kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail, berkata kenaikan tambang pengangkutan kenderaan berlaku menggunakan kapal Ro-Ro di antara Langkawi dan Kuala Perlis dan sebaliknya.
Katanya, hasil siasatan MyCC mendapati, tiga pengendali pengangkutan utama itu bersama dua perusahaan lain terbabit dalam perbincangan tertutup menaik dan menetapkan tambang bagi kenderaan komersial serta kenderaan persendirian menggunakan kapal Ro-Ro milik kesemua perusahaan itu.
“Tindakan tersebut membawa kepada pembentukan kartel penetapan harga melalui dua Memorandum Persefahaman (MOU) bermula dari 2018 hingga 2019,” katanya.
Beliau berkata, pada 2019, terdapat beberapa aduan diterima daripada orang awam berikutan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan di Langkawi.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kemudiannya menjalankan penyelidikan dan mendapati punca kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di Langkawi disebabkan kenaikan tambang kenderaan komersial menggunakan kapal Ro-Ro antara Langkawi dan Kuala Perlis dan sebaliknya,” katanya.
Pada 14 Sept 2020, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan kepada lima perusahaan tersebut.
Seterusnya, Iskandar berkata, kesemua perusahaan berkenaan telah membuat representasi kepada MyCC, antara Dis 2020 dan April lalu.
“Selepas mempertimbangkan semua bukti termasuk representasi mereka yang terlibat, MyCC telah mendapati bahawa kelima-lima perusahaan tersebut telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010,” katanya.
Iskandar juga berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan aktiviti kartel kerana ianya pelanggaran yang amat serius dalam undang-undang persaingan.
Katanya, perlakuan sabotaj ekonomi ini sudah pasti akan memburukkan lagi keadaan rakyat yang terjejas jika ianya berterusan.
“Kami berharap perusahaan-perusahaan yang terlibat serta perusahaan-perusahaan lain di luar sana mengambil iktibar daripada kes ini” katanya.
Dalam keputusan tersebut, Iskandar berkata MyCC juga mengarahkan kesemua perusahaan terbabit menghentikan serta merta dan menahan daripada terlibat dalam kartel penetapan harga, yang boleh mengganggu persaingan dalam pasaran pada masa hadapan.
Katanya, MyCC mengarahkan perusahaan berkenaan menentukan caj secara berasingan di masa hadapan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.