https://critoxium.com/shop/

Terkini

Selepas digantung keahlian, Tun Faisal dipecat daripada UMNO?


KUALA LUMPUR:
Belumpun selesai penggantungan keahlian parti selama enam tahun, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, dilaporkan akan diusulkan untuk dipecat daripada UMNO.
 
Ketika dihubungi Astro AWANI, Tun Faisal menjelaskan, beliau mengetahui mengenai usaha UMNO Putrajaya mengusulkan pemecatannya itu daripada rakan-rakan dalam parti dan sebuah portal berita pada Sabtu.
 
"Saya pun dapat tahu malam tadi (Sabtu) melalui rakan-rakan dan melalui sebuah portal berita. Saya tidak terkejut, sebab dah sangat mengenali sikap Tengku Adnan Tengku Mansor (Ketua UMNO Bahagian Putrajaya).
 
"Sepatutnya di bulan Ramadan ini, hilangkanlah dendam kesumat dan cari jalan perdamaian," katanya pada Ahad.
Sebelum ini, portal Suara Merdeka, melaporkan usaha mencadangkan pemecatan Tun Faisal diputuskan selepas satu mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya dijalankan pada Sabtu.
 
Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, beliau keliru mengapa tindakan sedemikian dikenakan terhadapnya meskipun keahliannya telah digantung sebelum ini.
 
"Saya tidak faham apa yang dia takutkan sangat dengan saya. Saya dah digantung pun. Hanya orang yang takut saja yang gunakan pihak lain untuk gantung dan pecat orang lain. Orang yang berani tidak begitu.
 
"Cukup-cukuplah, sudah-sudahlah. Umur dah lanjut, patutnya cari jalan mendekatkan diri dengan Allah SWT dan mencari rahmat Ramadan," katanya lagi.
 
Tun Faisal sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Mac tahun lalu.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.