https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kerajaan tidak akan kawal harga ayam mulai 1 Julai



Kerajaan memutuskan untuk tidak lagi meneruskan kawalan harga siling ayam mentah dan telur ayam bermula 1 Julai ini.

Selain itu, subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol dua, tiga dan lima kilogram (kg) juga tidak akan diteruskan.

Justeru, harga barangan dijangka akan meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.

“Kami jangka harga siling ayam akan naik selepas 30 Jun ini berbanding RM8.90 sekilogram ketika ini tetapi pihak industri telah memberi jaminan harganya tidak akan naik terlalu mendadak.

“Saya dimaklumkan oleh pihak industri bahawa harga siling ayam sekilogram akan berlegar sekitar RM10 sekilogram. Saya tidak berani sahkan berapa harganya nanti kerana bila harga kawalan ditarik, harga akan diapungkan ikut pasaran.

“Bagaimanapun, kami bagi jaminan kenaikan harga ayam tidak akan naik mendadak tapi jika ia berlaku, kami akan pantau dan gunakan peraturan sedia ada,” katanya dalam sidang media semalam.

Katanya, sebelum ini, kerajaan telah mengawal harga siling ayam dan telur ayan bagi membantu meringankan kenaikan harga barangan namun, tindakan itu menyebabkan herotan pasaran dan harga.

Dalam pada itu, Alexander berkata, kerajaan masih meneruskan subsidi minyak masak polibeg pada harga RM2.50 sekilogram untuk semua pengguna di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasab botol 2kg, 3kg dan 5kg tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini dan ia akan ditentukan oleh harga minyak sawit mentah dunia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.