https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mana janji PAS sedia 20,000 kerja di Terengganu? - Amanah

 


Amanah Terengganu mengingatkan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung janji PAS untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan seperti terkandung dalam manifestonya pada pilihan raya umum alu.

Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Zamir Ghazali berkata, adalah ironi apabila Ahmad Samsuri menyeru golongan muda mencipta pekerjaan sendiri.

"Dulu PAS berjanji akan menyediakan 20,000 peluang pekerjaan khasnya untuk anak muda negeri. Kini menteri besar pula yang memulangkan balik tanggungjawab ini kepada rakyat untuk cipta sendiri pekerjaan.

"Apakah kerajaan negeri sudah mengangkat bendera putih pada janji manifestonya sendiri?" Soalnya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Ahmad Samsuri menyeru rakyat di Terengganu supaya mencipta peluang pekerjaan sendiri bagi menghadapi suasana ekonomi selepas tempoh pandemik Covid-19.

Menurutnya, iklim dunia pekerjaan hari ini amat berbeza berbanding 10 tahun lepas dengan peluang pekerjaan lazimnya disedia dan ditawarkan oleh sesebuah organisasi atau syarikat kepada orang ramai.

Justeru katanya, rakyat perlu lebih kreatif dan berinisiatif untuk mencipta peluang pekerjaan sendiri sama ada sebagai pelengkap kepada industri sedia ada atau mencipta pasaran baharu.

Sementara itu Zamir mengakui bahawa pandemik Covid-19 telah menggangu banyak perancangan kerajaan.

Bagaimanapun dia menegaskan Terengganu menerima royalti kira-kira RM1.28 bilion pada 2019.

Bahkan katanya, negeri itu menerima lagi tambahan RM767 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan dana sebanyak RM257 juta untuk perniagaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada tahun 2020.

"Apa rangsangan ekonomi yang telah dilakukan yang benar-benar rakyat rasai dalam bentuk bertumbuhnya pekerjaan baru?” soalnya.

Dalam pada itu dia juga mempersoalkan janji PAS untuk membangunkan bandar lestari di Terengganu seperti yang terkandung dalam manifestonya.

"Apa yang terhidang saban hari pada rakyat bukanlah kelestarian dan keindahan bandar tetapi sampah sarap di merata ceruk tempat," ujarnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.