https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perang saraf dijangka cetus tsunami anak muda pada PRU-15

 


Oleh Dr Noor Nirwandy Mat Noordin -

Keadaan politik negara agak stabil. Namun dalam situasi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang boleh diadakan bila-bila masa sahaja, komposisi jajaran politik yang akan mewarnai politik tanah air masih lagi tidak jelas.

Ini termasuk sejauh mana parti politik di negara ini akan membentuk jajaran politik sebenarnya dalam pilihan raya akan datang.

Jelas masyarakat hilang minat pada politik, malah bersikap lebih pasif terhadap isu, pergeseran dan permasalahan ahli politik. Mungkin sifat pasif terhadap politik juga mengakibatkan jumlah pengundi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor tidak menepati sasaran.

Justeru, di manakah hala tuju politik negara? Apakah dominasi atau jajaran politik menjelang PRU-15 kelak? Persoalan sebegini menarik dikupas untuk melihat spekulasi berdasarkan maklumat di ruangan diskusi cerita politik.


PRU-14 difahami sebagai kuasa rakyat dibina dengan strategi politik dalam konteks perang saraf era baharu dalam mendukung konsep hak asasi, manifesto demi rakyat dan simbolisme politik dalam aplikasi perang saraf hingga membawa Pakatan Harapan (PH) menerajui politik negara.

Isu pelaksanaan manifesto, pergolakan dalaman dan pelbagai rencam politik membawa kewujudan Perikatan Nasional (PN) sebagai jajaran baharu politik menerajui kepimpinan negara dalam kepimpinan berbeza.

Dua pilihan raya negeri lalu memperlihatkan formula baharu dalam konteks lama, iaitu Barisan Nasional (BN) kembali memperoleh majoriti signifikan kepada hala tuju politik negara.

Apakah ini formula terbaik memenangi pilihan raya? Berdasarkan dapatan am dua PRN lalu, peluang PN mungkin dilihat tipis dan BN mungkin akan kembali mendominasi politik negara sekiranya berjaya mengatasi PH.

Namun, politik secara realitinya adalah perang angka. Pengundi pasif memberi kelebihan kepada parti gergasi negara memiliki sokongan akar umbi kuat dan jumlah pengundian rendah akan memberi kelebihan kepada parti gergasi seperti terbukti pada dua PRN lalu.

Setiap pilihan raya akan mempunyai corak pengundian unik untuk dibincangkan. Politik dominasi menjadi kunci kekuatan BN sebelum kebangkitan PH dengan tsunami rakyat.

PN sedang diberi ruang untuk mencipta konsep politik sendiri dalam tempoh pentadbiran sedia ada tetapi kerapuhan gabungan itu boleh dilihat jelas kini. PRU-15 akan berlaku dalam konsep politik mungkin sama atau berlainan.

Tsunami rakyat mungkin boleh berulang tetapi memori manifesto PH masih menjadi bual bicara masyarakat.

Undi 18 adalah undi segar negara. Jumlah pengundian pengundi muda Undi 18 dianggarkan hampir 6 juta pengundi baharu. Angka itu jelas menunjukkan kebarangkalian tsunami anak muda boleh berlaku pada pilihan raya akan datang.

Sekiranya golongan Undi 18 dimangkinkan dengan perang saraf cita rasa politik dalam penterjemahan pemahaman mereka dan menjadi aktif dalam politik, maka tsunami politik anak muda hampir pasti akan mengubah landskap politik negara.

Pengundi aktif adalah pengundi berminat dengan suasana politik dan akan turun mengundi pada hari pengundian pilihan raya, manakala pengundi pasif mungkin hilang minat pada politik serta tidak turun pada pengundian.

Pada masa sama, percaturan politik Selangor masih lagi belum jelas. Situasi politik negeri itu lebih kompleks disebabkan komposisi jajaran politik juga membabitkan pengaruh Muafakat Nasional (MN) yang pernah menjadi satu landasan politik untuk penyatuan ummah diperakui dua parti gergasi politik tanah air.

Komposisi hala tuju politik menerajui Selangor juga menarik untuk dianalisis secara jajaran politik kerana pengaruh individu penting dalam kalangan akar umbi serta hierarki politik negeri itu masih lagi relevan pada asas tertentu.

Adakah Selangor akan kekal di bawah PH dengan mengambil kira atau mengenepikan pengaruh individu tertentu dalam hala tuju gabungan politik Selangor? Adakah jajaran pernah diperakui relevan sebagai mekanisma penyatuan ummah, iaitu MN akan menjadi teras utama kerjasama BN untuk menerajui kepimpinan Selangor dengan mengambil kira faktor tsunami anak muda berkemungkinan boleh berlaku?

Pelbagai kemungkinan dilihat boleh berlaku dalam jajaran politik Selangor, namun watak pemimpin muda harus dilihat relevan menjadi asas strategi pengaturcaraan politik Selangor yang dilihat lebih tersendiri dalam pembentukan strategi politik gabungan berkaitan.

Berkemungkinan akan wujud satu teras politik lebih tersendiri dengan kemungkinan jajaran khas oleh PH dan BN dengan mengambil kira kepentingan parti gergasi dalam MN kepada BN dan pengaruh strategik individu tertentu dalam PN kepada PH.

Hambatan mengejar hak asasi tidak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara demi mencapai populariti serta manifesto retorik sukar dilaksanakan adalah strategi perang saraf politik sensasi bersifat partisan demi kepentingan sendiri.

Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara harus diangkat dengan perang saraf gerak saraf strategik bagi membina ketamadunan dalam kerangka kepentingan rakyat dan negara serta membimbing tsunami anak muda ke asas sebenar.

Penganalisis Keselamatan dan Politik

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.