https://critoxium.com/shop/

Terkini

Subsidi, harga siling dimansuh, makan di luar jadi lebih mahal


 PETALING JAYA: Harga di kedai-kedai makan dijangka akan melonjak susulan pengumuman kerajaan bahawa subsidi dan harga siling bagi barangan tertentu akan dimansuhkan mulai 1 Julai.

Pengusaha makanan yang ditemu bual FMT berkata, perniagaan mereka tidak akan untung jika harga tidak dinaikkan.

Pemilik restoran Ali Abu Bakar berkata, beliau terpaksa menaikkan harga jualan buat pertama kalinya dalam tempoh tujuh tahun.

Keuntungan perniagaannya tidak seberapa kerana terpaksa menampung kos yang melambung sepanjang beberapa bulan lepas, tambahnya.

Katanya, beliau telah menaikkan harga hidangan ayam dan goreng-gorengan, seperti mi goreng, sebanyak 50 sen memandangkan pembekal turut menaikkan harga.

“Kami telah cuba kekalkan harga makanan serendah yang boleh agar dapat bersaing dan dalam kemampuan pelanggan, kebanyakannya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Namun, kami tiada pilihan,” katanya.

Mohammad Aslam, yang memiliki gerai menjual rojak dan cendol di sekitar bandar ini, berkata beliau akan menaikkan lagi harga jualannya selepas Hari Raya Haji.

“Kami ingat dapat kekalkan harga, tapi keadaan semakin buruk apabila bekalan minyak dan ayam berkurangan,” katanya.

Beliau dahulunya menjual rojak dengan harga RM5 sepinggan, tetapi terpaksa dua kali menaikkan harga sebanyak 50 sen. Kini beliau terpaksa menaikkannya lagi, katanya.

Aslam berkata, kualiti makanan akan terjejas jika kedekut dengan bahan-bahan yang digunakan dalam hidangan atau menggunakan bahan yang murah.

Jeremy Tan berkata, gerai nasi campur terkesan dari segala segi kerana harga bahan-bahan yang digunakan, kecuali beras, telah meningkat.

Walaupun pelanggan merungut, katanya, pengusaha sepertinya tiada pilihan selain menaikkan harga.

“Margin kami telah berkurangan kerana kami tak boleh naikkan harga terlalu banyak, walaupun harga bahan-bahan dan barangan lain meningkat melampau,” katanya.

Ragavanan, yang telah mengusahakan restoran selama lebih 30 tahun, berkata kedua-dua pengusaha dan pelanggan menjadi mangsa.

“Saya tak pernah suka-suka naikkan harga. Jika saya lihat kedai makan lain naikkan harga, barulah saya akan buat perkara sama,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Ppengguna Alexander Nanta Linggi mengumumkan pemansuhan harga siling bagi ayam dan telur ayam yang ditetapkan pada 5 Feb, mulai 1 Julai.

Subsidi minyak masak dalam botol juga akan dimansuhkan bermula 1 Julai, tetapi minyak masak dalam polibeg 1kg akan terus kekal pada harga RM2.50.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.