https://critoxium.com/shop/

Terkini

Agama Islam bukan bahan ‘sendaan’


Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

 MELIHAT ‘kegilaan’ dan ‘kebiadaban’ manusia ketika ini yang berterusan menghina serta mempersendakan Islam membuatkan ramai tertanya-tanya adakah sebenarnya undang-undang di negara ini sudah mati?

Persoalan itu, bukan sahaja berlegar dalam fikiran penulis, malah ramai juga rakan seangkatan yang mempersoalkan perkara berkenaan kerana maruah sebagai seorang Islam seperti ‘dipijak-pijak’ ketika ini.

Bermula dengan seorang ­wanita yang cuba mempersendakan agama sendiri di sebuah kelab komedi, ia kemudian menular ke platform media sosial dengan beberapa ‘siri’ penghinaan dilakukan oleh individu berniat jahat.

Ia juga seolah-olah bermusim apabila seorang berani tunjukkan ‘belang’, ada sahaja ‘pengikut’ lain yang cuba meraih populariti murahan di media sosial.

Lebih menyedihkan, terdapat juga golongan yang cuba mempertahankan ‘golongan jahat’ ini sehingga ada yang sanggup mendermakan wang untuk membayar ikat jamin mereka.

Tindakan tersebut seolah-olah menyokong perbuatan menghina agama Islam dan individu seperti itu juga sepatutnya dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka jelas bersekongkol serta bersetuju dengan kelakukan pesalah.

Memetik laporan akhbar sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd mahu undang-undang sedia ada disemak dan diperketatkan lagi supaya dapat membendung individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina peribadi Nabi Muhammad dan pelaku perlu dikenakan hukuman yang lebih keras.

“Demi memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, pihak berkuasa perlu sentiasa bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina peribadi Nabi Muhammad yang mulia ini dan ­seterusnya dikenakan hukuman yang lebih keras.

“Saya juga berpendapat undang-undang sedia ada perlu ­disemak semula dan diperketatkan lagi supaya dapat memben­dung individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengulangi perbuatan sedemikian,” katanya.

Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus dalam satu kuliah agama yang dikongsi di media sosial baru-baru ini menyatakan jenazah individu menghina agama Islam adalah haram disembahyangkan.

Menurutnya, fatwa Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menyebut individu tersebut diisytiharkan kafir murtad walaupun mengaku dia adalah Islam.

“Orang Islam yang hina nabi, hina agama, hina hukum Islam, hina Quran, hina hadis, itu sudah jatuh hukum murtad.

“Kena cam nama mereka dan tanda, kerana apa? Kerana bila dia mati, haram kita sembah­yangkan jenazah mereka.

“Itu fatwa ulama Ahli Sunnah Wal Jamaaah. Barang siapa maki kepada agama dan nabi, maka telah menjadi kafir,” katanya.

Tambah Azhar, mereka yang menentang dan menyebelahi orang bukan Islam juga dikira sebagai munafik dan akan ditempatkan di neraka paling bawah di akhirat kelak.

Justeru, penulis ingin memberi peringatan kepada mereka yang berniat untuk menghina agama Islam supaya membatalkan niat tersebut, kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah ia boleh membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.