https://critoxium.com/shop/

Terkini

Mayat wanita hamil anak sulung, ibu mentua ditemukan


Mayat tiga sekeluarga yang hilang sejak petang semalam selepas rumah mereka di Kampung Iboi, Kupang, dihanyutkan arus deras, ditemukan hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Shamsudin Mamat, memberitahu Malaysiakini, mayat Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya Nurul Anis Abu Hassan, ditemukan pasukan pencari dan penyelamat kira-kira jam 9.30 pagi.

Mangsa ketiga, Mohd Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, pula ditemukan tidak jauh dari tempat kedua-dua wanita terbabit kira-kira dua jam kemudian.

Kata Shamsuddin ketiga-tiga mangsa berkenaan ditemui tersangkut pada kayu balak.

Sebelum ini Bernama melaporkan ketiga-tiga mereka dilaporkan hilang selepas rumah mereka dihanyutkan air deras pada petang semalam.

Nurul Anis, 23, dilaporkan sedang hamil anak pertama. Kandungannya baru berusia empat bulan dan dia berada di rumah tersebut untuk menjaga Salmah yang terlantar selepas diserang strok.

Suami Salmah, Abd Rahman Said, 71, berkata Mohd Khairul Ikhwan itu merupakan anak tirinya.

Kata Abd Rahman, kira-kira jam 4 petang semalam, Nurul Anis sempat menelefon untuk memaklumkan keadaan air yang semakin naik di kawasan rumah mereka.

Bagaimananapun katanya dia berdepan dengan banyak halangan di jalan sehingga dia terlambat sampai ke rumah berkenaan.

"Apabila sampai saya lihat jambatan dah tak ada sebab dihanyut arus, saya terus parkir kereta dan berlari ke rumah tapi saya tengok rumah saya pun sudah tidak ada," katanya.

Terdahulu Bernama melaporkan beratus-ratus penduduk kampung dipindahkan ke pusat petempatan sementara petang semalam ekoran kejadian banjir tersebut.

Dianggarkan sembilan kampung terjejas akibat bencana berkenaan.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.