https://critoxium.com/shop/

Terkini

Lagi pemimpin pembangkang dipanggil polis isu protes harga barang


Adun Mentakab Woo Chee Wan dan bekas ketua wanita PKR Johor Napsiah Khamis menyertai senarai ahli politik dan aktivis politik yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung flash mob membantah kenaikan harga barang pada 2 Julai lalu.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Nizam Hamid daripada PKR Temerloh berkata bahawa dia bersama Woo dan seorang lagi aktivis politik Rosli Ismail telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh bagi memberikan keterangan berkaitan bantahan kenaikan harga barang anjuran parti Amanah.

Sementara Napsiah memberitahu Malaysiakini bahawa dia dipanggil ke Balai Polis Bukit Jelutong untuk disoal siasat mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 selepas laporan polis dibuat berhubung bantahan itu.

"Kami menegaskan menjadi hak dan kewajiban rakyat untuk menzahirkan ketidakpuasan hati di atas kegagalan kerajaan hari ini mengawal kenaikan harga barang yang keterlaluan.

"Di atas premis ini kami tidak akan sesekali berhenti dari memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak.

"Pada masa yang sama, kami suka mengingatkan bahawa flash mob adalah kaedah tunjuk rasa yang paling lunak dan lembut. Sekiranya tunjuk rasa seperti ini dihalang, maka kami tidak dapat menolak kemungkinan demonstrasi secara menyeluruh akan diadakan di seluruh negara untuk rakyat menzahirkan suara hati mereka," kata Ahmad Nizam.

Dalam pada itu, Napsiah ketika dihubungi memberitahu bahawa dia yang juga pengerusi NGO Bidadari membantah kenaikan harga barang.

"Sementara saya menghormati tanggungjawab polis menjalankan tugas, saya juga ingin mengingatkan pihak berkuasa bahawa adalah hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Kami membawa suara rakyat menuntut harga barang yang melambung diturunkan, dan subsidi dikembalikan," katanya.

Ini bukan kali pertama peserta protes kenaikan harga dipanggil polis untuk disoal siasat.

Semalam, Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abdul Halim bersama lima lagi anggota Pemuda PKR dipanggil untuk disoal siasat di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi berhubung bantahan kenaikan harga mereka yang berlangsung di Pasar Seni Jumaat lalu.

Adam berkata polis juga telah memanggil beberapa pemimpin Amanah untuk memberi kenyataan.

Dia berkata polis sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada isu yang lebih mendesak seperti rasuah dan salah guna kuasa.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.