Pulau Pinang disaran teroka sumber air bawah tanah, kata menteri
KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air menyarankan kerajaan Pulau Pinang untuk meneroka sumber air bawah tanah dalam menampung keperluan air yang mendesak di negeri itu.
Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man turut mencadangkan Pulau Pinang untuk menggalakkan penjimatan air dalam kalangan rakyatnya melalui kempen penggunaan air secara berhemah.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang meminta Tuan Ibrahim menyatakan maklum balas dimohon kerajaan Pulau Pinang berhubung Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) yang dinyatakan menerusi surat bertarikh 4 Mac lalu.
“Berdasarkan rekod pada tahun 2021, penggunaan air per kapita bagi Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 308 liter per kapita (l/c/d) berbanding 301 l/c/d pada tahun 2020.
“Penggunaan ini menunjukkan jumlah yang sangat tinggi berbanding purata l/c/d yang disarankan oleh World Health Organisation (WHO) iaitu sebanyak 160 l/c/d,” katanya dalam jawapan pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya yakin kempen kesedaran yang berterusan dan meliputi pelbagai golongan mampu mengurangkan penggunaan air per kapita dan secara tidak langsung membantu meningkatkan rizab bekalan air negeri.
Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) turut bertanya bilakah kajian kejuruteraan pihak Kementerian (laporan akhir) berhubung opsyen-opsyen bagi cadangan SPRWTS untuk bekalan air utara Perak dan Pulau Pinang akan disiapkan.
Menjawab pertanyaan itu, Tuan Ibrahim berkata penilaian opsyen dan kajian pra-reka bentuk kejuruteraan bagi cadangan projek skim pemindahan air dari sungai Perak untuk bekalan air Utara Perak dan Pulau Pinang telah siap pada Jun lalu.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan SPRWTS ini tertakluk kepada rundingan dan persetujuan kedua-dua kerajaan negeri.
“Dalam hal ini, kerajaan negeri Perak dan Pulau Pinang perlu berunding dan mencapai persepakatan berhubung bentuk penyaluran air sebelum SPRWTS dapat direalisasikan.
“Kejadian kemerosotan air di Empangan Bukit Merah pada bulan Mei yang
lalu juga mendatangkan kebimbangan kepada rakyat Perak,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.