https://critoxium.com/shop/

Terkini

RUU Akta Antilompat Parti: Tiada lagi katak politik?

 


KUALA LUMPUR: Perbahasan melibatkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Antilompat Parti dicadang turut menumpukan kepada isu gabungan parti selain hanya memberi fokus kepada individu.

Penganalisis politik Prof Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin menjelaskan, RUU baharu itu mungkin tidak ubah seperti peruntukan sedia ada, iaitu Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, jika isu berkenaan tidak turut diketengahkan.
 
Perkara 48 Perlembagaan adalah perkara yang menyatakan kehilangan hak seseorang sebagai Ahli Parlimen. 
 
"RUU tidak menjamin perkara itu. Ia hanya melarang perubahan antara parti ke parti lain, meloncat-loncat.
 
"Ia tidak memberi peraturan bahawa, kalau ia (lompat parti) menyebabkan keruntuhan parti kerajaan, maka akan dikenakan hukuman dan larangan secara blanket kepada semua.
 
"Itu tiada. Yang ada, berfokus kepada individu, bukan parti," kata Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI malam tadi. 
 
Justeru, Shamsul Amri berkata, perkara itu perlu diberi perhatian dalam perbahasan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang sedang berlangsung di Dewan Rakyat ketika ini. 
 
"Ia perlu dilihat kerana implikasinya ialah, masih lagi seperti semangat Perkara 48, di mana individu itu harus dibatalkan keahliannya dalam Parlimen, kerana loncat parti.
 
"Pada saya, itulah tujuan RUU Antilompat Parti, iaitu mendisiplinkan ahli politik supaya kekal taat setia dan menerima mandat rakyat dan tidak bertukar fikiran," katanya.
 
Beliau menambah, RUU berkenaan dilihat hanya sebahagian sahaja berguna, namun tidak mampu menentukan jatuh bangun kerajaan. 
 
"Apa yang kita nak buat ialah, kita nak kawal ahli politik yang kita anggap mudah ubah fikiran atau mudah dibeli satu pasukan atau parti lain. 
 
"Jadi, undang-undang ini berguna hanya sebahagian sahaja, tetapi ia tidak menentukan jatuh atau bangun kerajaan. Ia hanya boleh melihat secara individu mereka yang membuat pilihan.
 
"Kalau mereka pindah berkelompok, macam dahulu, apabila orang UMNO masuk Bersatu, atau orang PKR membuat Sheraton Move, itu yang nak dihalang.
 
"Kalau strategi ahli-ahli ini lebih berfikir dan lebih matang, mereka akan kata, okey saya sokong kerajaan, tapi dalam polisi tertentu di Parlimen, saya sokong lain. Itu pun kita tak boleh kawal," ujar Shamsul Amri lagi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.