https://critoxium.com/shop/

Terkini

Hipokrit sekat Orang Asli jual hasil hutan, kata aktivis


PETALING JAYA: Seorang aktivis Orang Asli menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju bahawa Orang Asli yang tinggal di hutan simpan tidak dibenarkan membawa hasil hutan keluar untuk tujuan komersial, sebagai hipokrit.

Amani Williams-Hunt Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Bah Tony, berkata ia adalah “ejekan” kerana syarikat pembalakan boleh menjalankan aktivitinya di hutan simpan, tetapi masyarakat Orang Asli dihalang mengumpul sumber untuk terus hidup.

Menegaskan peraturan sedemikian hanya berfungsi untuk “menjerut dan mencekik” masyarakat Orang Asli, peguam itu berkata, Orang Asli sepatutnya mempunyai hak untuk menuai hasil hutan bagi tujuan komersial kerana mereka berbuat demikian dengan kesan minimum kepada tanah selama “ribuan tahun”.

“Kerajaan tidak mengiktiraf hak mereka ke atas tanah, menyekat mereka daripada mengumpul sumber untuk meneruskan hidup dan tidak membenarkan mereka meneroka kawasan itu untuk aktiviti ekonomi.

“Bagaimana mereka mahu meneruskan hidup, melainkan kerajaan menghantar makanan kepada mereka? Mereka tinggal di sana selama beberapa generasi, beribu-ribu tahun. Mereka berada di sana sebelum hutan simpan diwujudkan. Mereka tidak musnah hutan, tidak seperti pembalak.”

Ketika menjawab pertanyaan Apandi Mohamad (PAS) semasa sesi penggulungan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bacaan kedua di Dewan Rakyat semalam, Ali berkata, terdapat 850 perkampungan Orang Asli di seluruh negara, dengan majoritinya terletak dalam hutan simpan.

Beliau berkata, walaupun Orang Asli dibenarkan mengambil hasil daripada hutan simpan, tetapi ia hanya untuk kegunaan domestik dan penjualan tidak dibenarkan.

Colin Nicholas, penyelaras Pusat Prihatin Orang Asli (Coac), berkata masyarakat Orang Asli terlibat dalam perdagangan sumber hutan sekurang-kurangnya 500 tahun, dengan penggunaan sumber secara mampan memastikan hutan kekal utuh dan sihat.

Beliau senada kenyataan Ali itu hipokrit kerana pembalakan dibenarkan di hutan simpan dan terkejut Ahli Parlimen Saratok itu menyokong isu sedemikian.

“Beliau adalah Orang Asal. Pasti beliau tidak akan berani melakukan ini untuk rakyatnya di Sarawak,” kata Nicholas yang mengasaskan Coac pada 1989.

“Kamu kata mereka tak boleh jual (hasil hutan dari hutan simpan), tetapi kamu benarkan pembalakan diteruskan. Ini adalah manifestasi jelas tidak mengiktiraf hak Orang Asli di tanah adat mereka. Hanya kerana sesetengah Orang Asli yang tinggal dalam hutan dan pinggirannya menggunakan sumbernya, tidak bermakna hutan simpan akan rosak.

“Jika anda lihat peta lokasi kampung Orang Asli dan kawasan hutan di Semenanjung Malaysia, anda akan dapati korelasi tinggi antara kawasan hutan dan kawasan masih ramai Orang Asli diami. Itu menunjukkan mereka melindungi dan menjadi penjaga hutan selama ini. Ia bukan mengenai tidak menggunakan sumber hutan, tetapi penggunaan sumber hutan secara bijak.”

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.