https://critoxium.com/shop/

Terkini

‘Kalau nak jemput, jemput elok-elok’, pemimpin Umno Kedah tegur Sanusi


PETALING JAYA: Umno Alor Setar mengakui sokongan PAS diperlukan walaupun kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dianggap tidak berlapik, susulan pelawaannya “Umno boleh menumpang kekuatan PAS di negeri itu”.

Ketua Umno Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, berkata pertembungan Umno dan PAS pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) hanya akan membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH), termasuk di Parlimen Alor Setar.

“Walaupun tiada kesepakatan di peringkat atas, tetapi saya seru ahli-ahli kita serta orang Umno sekiranya Umno bertanding di Parlimen Alor Setar ini, tuan-tuan perlu dapatkan sokongan daripada sahabat kita PAS.

“Kalau tidak Umno tak menang, PAS tak menang. Yang menang adalah PH ibaratnya gajah sama gajah berperang, yang untung orang lain,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Ketika ini, Umno Alor Setar diketahui umum menuntut supaya kerusi tersebut diserahkan kepada mereka selepas MCA gagal memenanginya sejak beberapa PRU lalu.

Terdahulu, Yusof menyifatkan Muafakat Nasional (MN) sebagai gabungan terbaik memandangkan hitungan sebelum ini menjangkakan mereka mampu meraih sehingga 148 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu.

Namun, Yusof berpandangan MN kini sudah berada di penghujung dengan beliau bersama pasukannya dijangka berada di Kuala Lumpur bagi proses memulihkan semula MN.

“Tetapi kalau dilihat kepada kenyataan dikeluarkan menteri besar, Muhammad Sanusi Md Nor, kalau beliau nak mengata pun biarlah berlapik kerana kita ini orang Melayu. Beliau menyindir, mengata Umno dengan menyatakan ‘mailah’ kalau nak tumpang PAS.

“Janganlah cakap begitu kerana dalam hidup, kita tak boleh angkuh dan riak. Kalau nak jemput, jemput elok-elok dan kalau nak panggil, kita bermusyawarah sebab beliau menjadi menteri besar pun hasil daripada Umno,” katanya.

PAS Kedah menguasai 15 kerusi, diikuti rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN), Bersatu dengan enam kerusi. Umno sekadar mempunyai dua kerusi.

Mengambil kira jumlah kerusi dikuasai PN di negeri itu, jika Umno menarik sokongan terhadap Sanusi, pengarah pilihan raya PAS pusat itu akan terus menerajui kerajaan dengan 21 kerusi majoriti.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mempunyai keseluruhan 36 kerusi.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.