https://critoxium.com/shop/

Terkini

Teka-teki Bajet 2023 dan PRU15

 


Oleh Mohsin Abdullah 

Dulu, ia dipanggil “belanjawan”. Sejak beberapa tahun lalu, namanya ditukar kepada “bajet” yang diambil daripada perkataan bahasa Inggeris “budget”. Itu langkah kerajaan sebelum ini.

Istilah “bajet” digunakan juga oleh kerajaan sekarang pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang bertekad mahu memperkasakan bahasa kebangsaan dengan mengarahkan penggunaan bahasa Melayu wajib, walaupun di pentas antarabangsa.

Mungkin “bajet” lebih mudah disebut dan tidak membelit lidah berbanding “belanjawan”. Tak apalah. Hakikatnya, “Bajet” diguna pakai secara rasmi dan diterima ramai.

Apabila sesebuah kerajaan di negara ini menghampiri tamatnya tempoh pemerintahannya, maka ura-ura pilihan raya akan timbul, seperti sekarang. Ramai yang tertanya-tanya bila pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan.

Dan antara petunjuknya (ada pihak kata indikator terbaik) ialah bajet negara yang dibentangkan kerajaan. Ini berdasarkan pengalaman atau penghayatan masa lalu tentang amalan bertahun-tahun kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu. (Amalan Pakatan Harapan kita tidak tahu kerana ia ditumbangkan sebelum sempat berdepan situasi pilihan raya di peringkat kerajaan persekutuan).

Berdasarkan pengalaman yang disebut tadi, kerajaan akan menawarkan pelbagai insentif, kemudahan serta rancangan yang “sedap” kepada telinga rakyat. Bukan menuduh janji kosong ditaburkan, namun hakikatnya bajet digunakan untuk menarik minat (baca sokongan) rakyat kepada kerajaan. Pembentangan bajet oleh menteri kewangan “of the day” dilihat kempen awal kerajaan sebelum pilihan raya.

Lantas bermacam “gula-gula” ditawarkan. Lalu, timbullah istilah (atau dakwaan) “bajet pilihan raya”.

Ramai percaya itulah yang akan ditawarkan kerajaan apabila Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz membentangkan Bajet 2023. Dan ramai percaya pembentnagan akan dibuat awal, yakni lebih awal daripada yang dijadualkan bagi membolehkan Ismail menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 diadakan pada kadar segera seperti yang dituntut partinya, terutama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Akan tetapi, 7 Ogos lalu, Zafrul menolak kemungkinan pembentangan Bajet 2023 akan dipercepatkan daripada jadual asal, berikutan kemelut politik yang dihadapi negara kini.

“Itu khabar angin saja. Pada pengetahuan saya, masih sama seperti apa yang ada dalam takwim Parlimen,” kata beliau kepada media. Ertinya, Bajet 2023 akan beliau bentangkan pada 28 Okt ini, seperti yang dijadualkan. Itu kata Zafrul.

“Pada pengetahuan saya” adalah kata-kata kunci. Lagi pun di Malaysia, “khabar angin” kerap juga menjadi “khabar betul”. Oleh itu, semua boleh berlaku. Yang dijadualkan boleh bertukar atau ditukar. Tidak ada yang mustahil dalam politik dan apa yang kita bicara ini berkait rapat dengan politik.

Akan tetapi, andainya (saya ulangi “andainya”) Bajet 2023 dibentang lebih cepat daripada jadual, maka semua pihak, apatah lagi parti pembangkang, akan sedar pilihan raya hampir menjelma, lalu bersiap siaga. Hilanglah “element of surprise” milik kerajaan yang sememangnya “senjata” pemerintah.

Berdasarkan itu, Bajet 2023 tidak akan menemui kita awal. Ia akan dibentang ikut jadual pada 28 Okt, bak kata Zafrul. Setuju?

Bagaimanapun, Lokman Noor Adam, orang kuat Najib Razak yang tetap aktif dalam Umno yakin (berdasarkan kata-kata Zafrul) bahawa Ismail akan mengadakan PRU15 “hanya” pada tahun depan.

Ini kerana, katanya, jika Bajet 2023 dibentang pada 28 Okt, ia akan mengambil masa panjang untuk dibahas dan sebagainya sebelum diluluskan. Dan dibawa pula ke Dewan Negara untuk bahas dan diluluskan. Ertinya, sudah masuk November dan beliau mengingatkan kita bahawa November biasanya musim banjir. Dan kita tidak tahu bila keadaan akan pulih.

Oleh itu, kata Lokman, perdana menteri selaku naib presiden Umno akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 23 Nov ini sebelum PRU diadakan.

Lokman percaya Ismail “akan dibalun perwakilan Umno kerana mungkir janji yang dibuatnya kepada Umno dan BN dalam beberapa mesyuarat dan pertemuan”. Berani ke perwakilan “menyerang” seorang perdana menteri secara terbuka?

Presiden Umno pula mengulangi apa yang beliau selalu kata sebelum ini, iaitu (Umno) BN bakal berdepan laluan lebih sukar, jika PRU15 diadakan tahun depan, “susulan faktor ekonomi dan kadar inflasi yang mungkin meningkat”. Oleh itu, kata Zahid, “tahun ini paling sesuai kita adakan PRU15”.

Ramalan Zahid agak berbeda dengan jangkaan Zafrul yang menegaskan, termasuk ketika diwawancara CNN tempoh hari, Malaysia berada di landasan betul, yakni akan mencatat pertumbuhan ekonomi positif dan “we have inflation under control”.

Apa pun, jika ramalan Zahid tepat, sememangnya mengadakan PRU15 tahun depan akan menyukarkan Umno/BN. Betul, ia tidak bagus untuk Umno/BN, bagaimana pula buat rakyat?

Sekarang pun, rakyat sedang dihimpit kesusahan akibat inflasi menggunung, harga barangan mahal serta kos sara hidup melambung. Pilihan raya tahun ini atau tahun depan, rakyat susah terus susah. Mungkin lebih susah tahun depan. Apa pun, PRU15 diadakan 2022 atau 2023, sama saja buat rakyat.

Bukan seperti kesannya terhadap BN yang dibimbangi Zahid.

Namun, jika PRU15 diadakan tahun ini, mungkin rakyat akan memilih parti atau gabungan yang mereka yakin boleh dan mampu mengatasi masalah ekonomi buruk seperti dikatakan Zahid. Adakah keyakinan itu terhadap BN? Atau gabungan lain?

Berbalik kepada tuduhan yang dilemparkan Lokman ke atas Ismail. Benarkah perdana menteri berjanji bermacam-macam dalam mesyuarat Umno, termasuk Majlis Kerja Tertinggi dan Biro Politik yang beliau akan mengadakan PRU15 segera? Adakah janji yang sama dibuat dalam mesyuarat pimpinan tertinggi BN?

Tidak dapat dipastikan. Tetapi, Ismail memberi isyarat berbeza-beza kepada khalayak secara terbuka. Maksudnya, semasa berucap dalam majlis terbuka.

Baru-baru ini, Ismail dilaporkan berkata, beliau akan membubarkan Parlimen untuk PRU15 diadakan, jika kajian yang dibuat Wanita BN menunjukkan sokongan pengundi memihak kepada BN.

Bukan saya memperkecilkan kemampuan Wanita BN, cuma Ismail selaku perdana menteri mempunyai akses kepada bermacam sumber untuk mendapatkan maklumat sepenting itu.

Beliau ada “intelligence report” yang boleh diperolehi daripada polis cawangan khas yang begitu mahir dan cekap. Begitu juga “military intel”. Ada juga pelbagai kumpulan pemikir, penasihat dan pasukan “risik” Umno serta BN. Macam-macam sumber ada.

“Bukan saya tak percaya orang lain, tapi laporan ‘survey’ (kaji selidik) sayap Wanita biasanya tepat. Jika saya dapat laporan mengenai sikap pengundi daripada Wanita BN bahawa BN akan menang PRU15, saya akan bubar Parlimen”, kata Ismail menurut laporan media.

Saya tidak tahu sama ada perlu atau tidak untuk memberitahu, (tetapi saya beritahu juga) beliau berkata demikian pada Konvensyen Wanita BN di Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu. Adakah beliau “was playing to the gallery”?

Tidak dapat dipastikan sama ada beliau berjenaka, bergurau atau sememangnya serius apabila berkata demikian.

Tentunya “personal rating” Ismail dalam kalangan wanita meningkat. Tetapi, mungkin kumpulan yang tugasnya memberi informasi penting kepada perdana menteri tersinggung dan kecil hati.

Sementara itu, bila PRU15 akan diadakan terus ditanya-tanya. Teka-teki tetap teka-teki.

 

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.