Henti debat isu rasuah bukan Islam – Muhyiddin
ALOR SETAR: Tuduhan terhadap masyarakat bukan Islam dan bukan bumiputera sebagai antara punca kepada gejala rasuah dalam negara ini tidak perlu dipolemikkan kerana jenayah itu sudah berleluasa di negara ini tanpa batas bangsa.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jenayah itu berlaku dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.
“Rasuah sudah agak lama berleluasa. Orang yang bukan Islam pun ada melakukan rasuah, yang Islam pun melakukan rasuah.
“Saya fikir tidak harus apa orang kata kita debatkan, apa yang ditinggal itulah yang sedang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas hadir sebagai tetamu pada Muktamar Tahunan Pas ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini, hari ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan, usaha menangani penyakit rasuah wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya khususnya terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.
“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman. Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera,” katanya.
Akhbar turut melaporkan, polis sudah membuka kertas siasatan terhadap Presiden Pas itu susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.
Muhyiddin menambah, PN mengambil satu pendirian tegas dan berpendirian kuat untuk menentang salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan pelbagai perkara lain yang sudah diputuskan sejak awal.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.