Harga getah jatuh mendadak, 200,000 pekebun kecil resah
KUANTAN: Ketidaktentuan harga getah di pasaran yang disifatkan masih di tahap rendah terus menjadi menghantui lebih 200,000 pekebun kecil getah seluruh negara.
Sebabnya, harga komoditi itu hampir dua bulan mengalami penurunan mendadak daripada RM3.20 sekilogram membabitkan getah beku kepada RM2.30 sekilogram ketika ini.
Bagi getah kering yang lebih 10 hari, harga dua bulan lalu RM3.80 sekilogram kini menurun kepada RM2.60.
Situasi itu menimbulkan keluhan dalam kalangan para penoreh yang mendakwa harga sekilogram komoditi getah kini tidak cukup untuk mereka dan keluarga ‘bernafas’.
Jika menoreh di kebun orang pula, hasilnya terpaksa dibahagi dua dengan pemilik kebun menyebabkan purata penoreh terlibat hanya beroleh RM700 sebulan jika menoreh selama 18 hari dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah memberitahu Mingguan Malaysia, isu membabitkan pekebun kecil getah seolah-olah dipandang sepi.
Beliau berkata, YPNM menerima rungutan daripada golongan itu yang berasakan nasib mereka kini boleh disifatkan sebagai ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
“Pekebun kecil getah mengharapkan harga getah naik melebihi RM3 sekilogram tetapi apa yang berlaku sebaliknya, ia jatuh mendadak.
“Dengan keadaan cuaca tidak menentu pada ketika ini dan musim tengkujuh yang bakal tiba November nanti, ia begitu meresahkan pekebun kecil getah.
“Selepas kembali bekerja ekoran Covid-19 sebelum ini, mereka masih tidak boleh menarik nafas lega kerana harga komoditi itu belum membolehkan masyarakat luar bandar terutama pekebun kecil getah dapat bertahan seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan,” katanya di sini semalam.
Mohd. Firdaus berharap kerajaan dapat membantu menstabilkan harga getah pada bulan ini dan Oktober sebelum tiba musim tengkujuh.
“Ini memang begitu diharapkan oleh pekebun kecil getah kerana pada musim tengkujuh nanti mereka tidak boleh menoreh sekali gus hilang punca pendapatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga boleh membantu pekebun kecil dengan membeli getah ketika harga komoditi itu jatuh dengan harga tinggi dan dijadikan stok penimbal.
“Apabila harga getah kembali naik, kerajaan boleh menjual stok terbabit dan memperoleh keuntungan.
“Pekebun kecil getah tidak minta kerajaan tabur duit kepada mereka tetapi melaksanakan kaedah terbaik bagi membantu mereka. Apa diharapkan ada peningkatan dalam harga getah semasa,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kos sara hidup yang semakin tinggi dengan kenaikan harga barangan terus menyesakkan lagi kehidupan golongan berkenaan.
“Bayangkan harga getah hanya RM2.30 sekilogram, hendak beli sekilo ikan penoreh kena jual tiga ataupun empat kilogram getah sehari. Itu belum ambil kira barangan keperluan harian lain lagi, ada sampai hendak minum teh tarik di kedai pun pekebun tidak mampu jika tidak keluar bekerja,” katanya.
Sementara itu di Jerantut, Zaharudin Mohd. Nor, 57, berkata, harga sekilogram komoditi getah kini tidak cukup untuk membolehkan dia sekeluarga ‘bernafas’.
“Situasi harga getah sekarang buat kami penoreh getah ‘lemas’, tidak boleh bernafas kerana ia tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian.
“Tambahan dengan keadaan harga barangan keperluan yang semakin meningkat, hasil yang kami terima tidak berpadanan,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Garuk di sini semalam.
Tambah Zaharudin, keadaan bertambah sukar kerana dia hanya mengambil upah menoreh getah di kebun orang.
“Macam saya, saya tidak mempunyai kebun sendiri dan hanya ambil upah menoreh di kebun orang yang mana kebiasaannya hasil getah dijual dibahagi dengan pemilik.
“Macam bulan lepas saya cuma memperoleh sekitar RM700 setelah dibahagi dua dengan pemilik kebun dalam tempoh sekitar 18 hari saya menoreh kerana keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu tambahan pula musim tengkujuh yang semakin tiba memburukkan lagi keadaan.
“Saya anggarkan dalam sehari saya boleh menoreh dan memperoleh hasil sekitar 40 kilogram. Setelah dibahagi dua, dapatlah dalam RM30 sehari.
“Itu pun jika cuaca elok dan tidak hujan. Kalau cuaca tidak elok, mungkin dalam sebulan sukar saya memperoleh pendapatan. Bulan ini sahaja baru sekali saya dapat menoreh. Itupun hasil tidak banyak kerana hujan,” katanya.
Seorang lagi penoreh getah, Mat Dilu Selat, 75, pula berkata, dengan keadaan cuaca yang tidak menentu juga membuatkan hasil getah tidak memberangsangkan.
“Sekarang musim pokok getah meluruh dan susu juga tidak banyak. Dengan harga RM2.60 dan hasil getah yang tidak seberapa, berapa sangat pendapatan yang kami peroleh.
“Kami amat berharap sekiranya harga getah dapat dikembalikan seperti dahulu terutama ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mana harga getah ketika itu mencecah sehingga RM9 sekilogram.
“Itulah saat kami dapat berasa kesenangan hidup sebagai penoreh getah namun selepas itu harga semakin menjatuh,” katanya.
Mat Dilu berkata, mungkin agak mustahil untuk mendapatkan kembali harga getah sedemikian namun berharap setidak-tidaknya kerajaan mencari jalan agar harga getah naik sekurang-kurang RM5 sekilogram.
“RM5 sekilogram ini tidaklah semewah ketika harga RM9, tapi cukuplah untuk buat kami penoreh getah ini kembali bernafas sekali gus boleh menampung kehidupan seharian kami,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.