Mana nilai kemanusiaan Presiden Umno? – PRU15 musim banjir susahkan rakyat, bebankan guru
Desakan yang begitu kuat terhadap YAB Perdana Menteri oleh Presiden Umno secara terbuka agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semasa musim banjir amat mendukacitakan.
Walaupun ada beberapa faktor yang dilihat wajar PRU sekalipun diadakan segera seperti gagalnya kerajaan sekarang memahami denyut nadi rakyat yang dalam kesusahan menyebabkan perlunya kerajaan yang memperoleh mandat baru dalam PRU.
Namun dalam keadaan yang genting, apabila Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan bahawa jangkaan pada bulan November nanti, akan berlakunya banjir besar di beberapa buah negeri menunjukkan bahawa PRU tidak patut diadakan dalam tempoh terdekat.
Bagaimana Presiden Umno yang pernah menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri satu ketika dahulu tidak mengambil kira kesusahan dan tekanan yang dialami oleh rakyat biasa yang menghadapi pelbagai masalah jika berlakunya banjir?
Adakah Presiden Umno melihat pertarungan mengambil kuasa lebih penting daripada membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan?
Selain pelbagai agensi terpaksa dikerahkan menguruskan banjir, dalam masa yang sama perlu juga menguruskan pelbagai proses selepas pembubaran Parlimen sehinggalah berakhirnya proses kiraan undi, golongan guru juga yang terlibat sama sebagai petugas SPR akan mengalami tekanan jika PRU diadakan menjelang hujung tahun ini.
Bayangkan jika banjir berlaku, sekolah perlu digunakan sebagai pusat perpindahan dan di sebelahnya pula terpaksa dijadikan pusat pembuangan undi.
Perlu disedari juga bahawa menjelang Periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diadakan penghujung bulan Februari 2023, guru-guru sedang menumpukan usaha untuk membuat persediaan rapi kepada semua calon SPM bagi memastikan calon bersedia untuk menghadapi SPM.
Tambahan pula, mulai penghujung bulan Oktober ini sehingga bulan Mac tahun hadapan, ada banyak program pra-SPM dan pra-peperiksaan akhir tahun bagi semua peringkat akan dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia.
Justeru, jika diadakan PRU dalam tempoh terdekat, ia akan menggangu proses persediaan ini, malah guru-guru yang sedia terbeban akibat kerja-kerja pengkeranian yang banyak akan bertambah tertekan dengan adanya PRU semasa musim peperiksaan.
Di manakah belas ehsan pimpinan Umno dan ahli-ahli politik yang terus mendesak agar diadakan PRU dalam tempoh terdekat sedangkan guru-guru kita sedang menumpukan usaha membimbing anak-anak kita menghadapi SPM yang menjadi peperiksaan awam terpenting di negara kita?
Oleh itu, adalah menjadi satu yang janggal dan tidak sesuai jika PRU diadakan pada masa terdekat.
Malah, usaha membantu rakyat dan proses pendidikan anak-anak harus menjadi keutamaan buat masa ini berbanding perebutan kuasa.
*DATUK
DR HASAN BAHROM merupakan Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan
Masyarakat AMANAH Nasional merangkap Ahli Parlimen Tampin.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.