‘Muhyiddin, kalau anak jantan tekan butang sekarang’
PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjadi ‘anak jantan’ untuk segera mengarahkan ahli-ahli Parlimennya menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika melihat kerajaan hari ini gagal mengurus ekonomi dengan baik.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak perlu hanya menyalak dan menggertak, sebaliknya membuktikan dengan menarik sokongan kepada Perdana Menteri.
Katanya, keadaan ekonomi hari ini adalah lebih baik berbanding sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri yang melaksanakan sekatan pergerakan secara separa masa paling lama di samping menggantung Parlimen dengan sewenang-wenangnya dalam beberapa bulan.
“Jadi siapa sebenarnya yang gagal urus ekonomi?
“Paling utama, jika Tan Sri Muhyiddin meyakini kerajaan hari ini gagal urus ekonomi dan perlu adakan Pilihan Raya Umum Ke-15, maka jangan hanya menyalak dan menggertak. Buktikan dengan tindakan sebagai anak jantan untuk segera arah anak-anak buah Tan Sri dalam kerajaan untuk tarik sokongan kepada Perdana Menteri.
“Kalau berani tekan butang sekarang,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Semalam, Muhyiddin berkata pilihan raya seeloknya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat jika Perdana Menteri gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu mendakwa Ismail Sabri tidak memandang semua isu ekonomi sebagai sesuatu yang penting di samping tidak pandang serius ssu kejatuhan nilai ringgit.
Menurut Asyraf Wajdi, terdapat menteri-menteri yang menguruskan hal ehwal ekonomi terdiri dalam kalangan menteri-menteri Bersatu dan mereka juga sama gagal seperti mana dakwaan Muhyiddin sendiri.
“Siapa Menteri Kanan Ekonomi merangkap Menteri Miti? Siapa Menteri Perancang Ekonomi? Dan siapa Pengerusi Majlis Pemulihan Negara? Bukankah semuanya termasuk Tan Sri daripada parti Bunga? Sekali lagi siapakah yang sebenarnya gagal?
“Apakah setelah Tengku Zafrul isytihar menyertai BN, maka Menteri Kewangan lantikan Tan Sri bahkan disyaratkan oleh Tan Sri sendiri untuk dikekalkan sebagai Menteri Kewangan zaman Datuk Seri Ismail Sabri terus diisytiharkan gagal juga,” katanya
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.