https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pas tidak mahu PRU segera, tak bubar DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga Mac 2023

 


KUALA LUMPUR: Pas berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak perlu disegerakan kerana lazimnya hujung tahun adalah musim banjir.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, wakil Pas dalam kerajaan akan mengemukakan pandangan supaya PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat.

“Menjelang hujung tahun sudah diketahui sebagai waktu banjir melanda negara. Pas berpandangan tidak perlu lagi mengadakan PRU pada tahun ini, terutama waktu-waktu dekat banjir.

“Kita dah tahu banjir, nanti menyukarkan urusan bagi mengurus pilihan raya terbabit,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Dwibulanan Agensi Hal Ehwal Agama di sini hari ini.

Menurut Idris, Pas juga akan menyampaikan keputusan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, Kelantan dan Terengganu sehingga habis penggal pada Mac tahun depan.

“Kita tidak akan bubarkan DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu hingga habis penggalnya Mac tahun depan. Itu keputusan parti setakat ini, tidak tahulah kalau ada keputusan lain selepas ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, cadangan untuk mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok..

Ketika ditanya bila perbincangan mengenai PRU-15 itu akan diadakan, Perdana Menteri berkata secepat mungkin, kemungkinan lebih mendahului daripada mesyuarat ‘Top 5’ yang merujuk perbincangan lima kepemimpinan tertinggi UMNO.

Ditanya mengenai perkembangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355), Idris berkata, kertas cadangan RUU berkenaan sudah dihantar kepada Peguam Negara untuk diteliti.

“Kita sudah hantar kepada AG (Peguam Negara) untuk diteliti sebelum sebarang tindakan lanjut untuk langkah seterusnya ditentukan. Kertas terbabit sebelum ini telah dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan sudah mendapat kelulusan dasar.

“Kita akan membawa usul RUU 355 ini mengikut lunas dan tertib yang sepatutnya. Ini adalah komitmen kita sejak dahulu lagi untuk memperkasakan Mahkamah Syariah,” katanya. –

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.