Rumah banyak, harga mahal
PETALING JAYA: Kegiatan spekulasi dan pasaran pramatang antara dua punca utama harga kediaman kekal tinggi meskipun berlaku lambakan kerana penawaran melebihi permintaan dengan dengan 37,000 unit rumah siap tidak terjual bernilai RM22.79 bilion.
Mengikut Laporan Pasaran Hartanah 2021 pada April lalu, terdapat 31.5 peratus atau 11,610 unit rumah siap tidak terjual membabitkan harga RM300,000 dan ke bawah atau kategori rumah mampu milik, diikuti harga RM500,001 hingga RM1.0 juta dengan 30.2 peratus atau 11,139 unit dan RM300,001 dan RM500,000 (25.7 peratus atau 9,461 unit) serta lebih RM1 juta (12.6 peratus atau 4,653 unit).
Menurut laporan itu, kediaman jenis kondominium atau pangsapuri membentuk 55.6 peratus (20,505 unit) dari keseluruhan unit tidak terjual negara, diikuti rumah teres (21.3 peratus atau 7,839 unit).
Selangor adalah negeri tertinggi catat kediaman tidak terjual dengan 6,095 unit bernilai RM5.28 bilion diikuti Johor (6,089 unit bernilai RM4.72 bilion), Pulau Pinang (5,493 unit bernilai RM3.56 bilion) dan Kuala Lumpur (3,908 unit bernilai RM3.17 bilion).
Walaupun ada lambakan, Indeks dan Kaji Selidik Hartanah Suku Ketiga 2022 dikeluarkan Juwai IQI Malaysia menjangka harga rumah meningkat 11.8 peratus di seluruh negara dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama), Prof Dr. Ismail Omar berkata, kegiatan spekulasi dan pasaran pramatang menyebabkan harga rumah masih bertahan dan kadangkala menokok.
Justeru, katanya, situasi itu bermakna pasaran hartanah tidak tulen dan dipengaruhi pemain-pemain spekulasi yang membeli untuk menjual semula dengan harga lebih tinggi demi mengaut keuntungan berganda.
“Secara umumnya lambakan hartanah berlaku apabila penawaran melebihi permintaan. Sewajarnya apabila berlaku lambakan di pasaran, harga akan jatuh. Namun, harga tetap bertahan malah menokok disebabkan kegiatan spekulasi dan pasaran pramatang.
“Situasi ini mengganggu gugat pasaran hartanah. Justeru, skim pembangunan sewajarnya diluluskan dengan berhati-hati oleh pihak berkuasa tempatan. Sudah tentu, gejala rasuah merosakkan pasaran hartanah,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu, Ismail merangkap Naib Canselor Universiti Geomatika Malaysia berkata, pasaran hartanah boleh merudum bila-bila masa sekiranya langkah mapan mengatasinya tidak disusun rapi khususnya kesan kenaikan kali ketiga Kadar Dasar Semalaman (OPR) berturut-turut pada tahun ini, di samping separuh rakyat tidak mampu mebeli rumah kerana kekangan kewangan.
Katanya, insentif pembelian rumah perlu diteruskan untuk memulih dan melentur keanjalan pasaran hartanah sekali gus kebarangkalian berlakunya kegawatan pasaran hartanah boleh diperlahan seterusnya dielakkan.
“Sekiranya harga hartanah kekal tinggi di samping kenaikan OPR, lambakan hartanah di pasaran terus berlaku dan menjejaskan usaha pemulihan pasaran hartanah di negara ini.
“Malah mengikut hasil Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua 2022 PropertyGuru Malaysia pada baru-baru ini, sebanyak 73 peratus responden masih mencari insentif kerajaan untuk membeli rumah manakala separuh daripada mereka belum layak membeli rumah,” katanya.
Ditanya sama ada industri hartanah terjejas susulan kenaikan OPR, Ismail berkata, peningkatan OPR 25 mata asas kepada 2.50 peratus secara langsung memberi kesan kepada industri hartanah apabila orang ramai terpaksa berfikir lebih panjang melakukan pembiayaan kerana bimbang tidak mampu melunaskan pinjaman secara bulanan.
Katanya, bakal pembeli rumah belum habis berdepan keyakinan bergelut dengan kenaikan OPR kepada 2.25 peratus beberapa bulan lalu sekali gus melemahkan untuk menambah beban pinjaman kewangan.
“Akibatnya, pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan meningkat dan jumlah bayaran balik pembeli rumah akan meningkat,” jelasnya.
Oleh itu katanya, situasi berkenaan mempengaruhi pasaran hartanah apabila permintaan mengecil dan kebarangkalian berlaku lebihan penawaran yang tinggi.
“Sekiranya harga kekal tinggi, lambakan hartanah di pasaran menjejaskan usaha pemulihan pasaran hartanah di negara kita,” katanya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.