https://critoxium.com/shop/

Terkini

Penjawat awam dibenar ambil cuti jalani saringan kesihatan tahunan

 


PETALING JAYA: Penjawat awam berusia 40 tahun ke atas dibenarkan mengambil cuti untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan, manakala kakitangan kerajaan lain perlu mengisytiharkan status kesihatan dalam fail peribadi.

Langkah itu adalah sebahagian inisiatif perkhidmatan awam bagi menjadikan penjawat awam sebagai contoh “penjagaan kesihatan” dalam masyarakat, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Shafiq Abdullah dalam pekeliling, baru-baru ini.

Pemeriksaan kesihatan tahunan itu bagaimanapun tidak diwajibkan, namun semua penjawat awam berusia 40 tahun ke atas digalakkan berbuat demikian. Mereka tidak perlu menggunakan peruntukan cuti tahunan bagi tujuan itu.

Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pihak kementerian mencadangkan pekerja diberikan cuti sehari untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan. “Kita (KKM) meminta perkara ini diberikan perhatian dan memasukkannya dalam Bajet 2023 akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, ketua jabatan boleh mengarahkan kakitangan mereka menjalani pemeriksaan jika perlu, mengambil kira “kepentingan perkhidmatan”.

“Sebagai tambahan, kami menggalakkan semua kakitangan kerajaan mengisytiharkan mana-mana penyakit tidak berjangkit dihidapi, termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, masalah jantung dan kolesterol tinggi”.

Mereka yang tidak mempunyai masalah penyakit tidak berjangkit digalakkan melakukan ujian kendiri demi menentukan paras gula dan kolestrol dan mengisytiharkan keputusannya. Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan tinggi dan berat untuk kiraan indeks jisim tubuh.

Shafiq berkata, langkah itu sebahagian daripada inisiatif pemeriksaan kesihatan kebangsaan dilancarkan tahun ini, dan perkhidmatan awam berhasrat membudayakan gaya hidup sihat, sekali gus menjadikan penjawat awam sebagai contoh.

Pemeriksaan kesihatan tahunan akan dijalankan secara percuma di hospital kerajaan dan klinik. Bagaimanapun, mereka yang memilih melakukan pemeriksaan di pusat kesihatan swasta tidak layak mengemukakan sebarang tuntutan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.