https://critoxium.com/shop/

Terkini

Teresa fail notis muflis terhadap Jamal kerana gagal bayar ganti rugi

 


Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal Yunos kerana gagal membayar ganti rugi sebanyak RM351,479.45 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi susulan kemenangannya dalam saman fitnah ke atas ketua bahagian Umno Sungai Besar itu.

“Peguam saya SN Nair & Partners telah memfailkan notis muflis terhadap Jamal kerana gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah yang memerintahkan

Jamal membayar sejumlah RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM50,000 sebagai kos guaman kepada saya.

“Saya memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 6 April 2017, kerana Jamal menuduh saya menyeleweng RM2 juta Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) di bawah kerajaan Negeri Selangor,” kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Julai 2022, Pesuruhjaya Kehakiman Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kok dalam tempoh 14 hari berserta kos tindakan sebanyak RM50,000.

Dia juga mengeluarkan injunksi untuk melarang Jamal atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu dalam apa jua bentuk.

“Sehingga hari ini, saya masih belum menerima sebarang pampasan dan kos daripada Jamal. Jumlah ganti rugi dan kos tindakan bersama faedah penghakiman terkumpul dari 26 Julai 2022 sehingga 30 Ogos 2022 berjumlah RM351,479.45.

“Justeru, saya mengarahkan peguam saya S.N Nair & Partners memfailkan notis muflis terhadap Jamal berikutan sikap cuai dan tidak ambil peduli ini.

“Sekiranya Jamal masih tidak mematuhi tuntutan notis kebankrapan, prosiding kebankrapan akan dijalankan terhadapnya dan dia mungkin diisytiharkan muflis pada akhir perbicaraan,” kata Kok.

Selain Kok, Jamal juga mendakwa beberapa ahli politik dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor telah menggunakan dana untuk bantuan kebajikan bagi kepentingan peribadi.

Dia juga mendakwa ahli politik itu mengeluarkan wang tunai daripada dana Yawas tetapi tidak pernah mengagihkan kepada penerima yang layak.

Rebah ketika hadiri program parti

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Utusan Malaysia melaporkan Jamal dikejarkan ke hospital selepas jatuh secara mengejut ketika menghadiri program Umno di Sungai Besar, malam tadi.

Anaknya, Amin Daniel mengesahkan Jamal kini dipantau rapi oleh doktor di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Ogos lalu, Jamal mendedahkan dirinya telah pulih daripada penyakit kanser paru-paru tahap empat yang dirahsiakannya selama berbulan-bulan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.